Maiamalina Mohamed Amin

Kota Bharu: Aktiviti luar bilik darjah di semua sekolah wajib dihentikan berikutan cuaca panas melampau dialami negara sekarang.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pekeliling mengenai perkara itu sudah dikeluarkan minggu lalu.

"Ini langkah yang kita dapat laksana ketika ini. Sesi persekolahan akan diteruskan macam biasa dan sekolah tetap dibuka esok (Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan Isnin.

"Sama ada sekolah akan ditutup, kita tunggu keputusan jawatankuasa pusat,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung SMK Raja Sakti Kali Ke 41, di sini, hari ini.

Mengenai maklumat palsu mengenai cuti sekolah dilanjutkan susulan cuaca panas, beliau meminta orang ramai supaya tidak viralkan maklumat begitu yang boleh menyusahkan orang ramai.

"Jangan menyusahkan mak bapa murid dan pelajar. Ramai yang bertanya kerana perlu menghantar anak mereka ke asrama hari ini, ia (maklumat palsu) menyusahkan. Jadi hentikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 3:40 PM