POLIS menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) hari ini. FOTO Ihsan Polis.
POLIS menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan di CIQ Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) hari ini. FOTO Ihsan Polis.
Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Kenderaan yang dikesan memotong barisan ketika melalui pintu masuk ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) akan disaman, selain diarahkan berpatah balik.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan itu bagi memastikan kelancaran trafik di BSI dan KSAB, susulan peningkatan kemasukan pengembara ke Malaysia sempena cuti hujung minggu dan Hari Wesak di Singapura.

"Kita mengatur gerak penugasan bagi memastikan kelancaran aliran trafik melalui bantuan penugasan 'point duty' di persimpangan jalan secara rondaan dan statik serta 'respon time' kemalangan dan halangan yang boleh menjejaskan aliran trafik.

"Kita juga meningkatkan penguatkuasaan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan lalu lintas terutama memotong barisan yang mana kita keluarkan saman serta arahkan mereka berpatah balik bagi memastikan kelancaran aliran trafik," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menasihatkan warga asing yang memasuki negara ini sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas, berhemah ketika memandu, kawal emosi dan sentiasa bersabar.

"Jangan sesekali buat provokasi yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 5:33 PM