KAMARUL Zaman bersama pegawai dan anggota polis yang bertugas sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. FOTO Izz Laily Hussein
KAMARUL Zaman bersama pegawai dan anggota polis yang bertugas sempena PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. FOTO Izz Laily Hussein
Izz Laily Hussein


Johor Bahru : Lebih 4,000 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Jeram esok.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, jumlah itu ditambah daripada jumlah asal seramai lebih 3,000 orang selepas mengambil kira kemungkinan kesesakan di beberapa kawasan.

Beliau berkata, kawasan yang dijangka sesak termasuk di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), selain Lebuhraya Utara Selatan serta plaza tol memasuki daerah Muar.

"Pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di jalan strategik untuk memastikan kelancaran trafik. Kita jangka mungkin akan berlaku sedikit kesesakan, namun semua pihak dinasihatkan untuk bersabar, ikut peraturan dan jangan memotong.

"Selain itu, kita turut meminta kontraktor memberhentikan sementara kerja-kerja membaik pulih jalan memasuki bandar raya Johor Bahru serta Muar. Polis akan turut ditempatkan di kawasan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyampaikan amanat khas kepada pegawai dan anggota polis yang bertugas sempena PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner M Kumar dan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh.

Kamarul Zaman turut menasihati orang ramai khususnya penyokong parti politik untuk patuh kepada arahan dan undang-undang ditetapkan bagi memastikan kelancaran kedua-dua PRK.

"Sekiranya terdapat halangan kepada orang awam untuk keluar mengundi esok, sila maklumkan kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat diambil bagi membolehkan mereka melaksanakan hak dan tanggungjawab mereka," katanya.

Pada masa sama, Jabatan Imigresen Malaysia turut menempatkan seramai 2,000 pegawai dan anggota di BSI serta KSAB bagi membolehkan semua laluan masuk dan keluar beroperasi sepenuhnya, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2023 @ 6:49 PM