Syaherah Mustafa


Kota Bharu: Kerajaan Kelantan bersiap siaga dengan lori tangki dan tangki statik untuk membekalkan air bersih kepada mangsa banjir yang terputus bekalan air akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Datuk Azami Mohd Nor, berkata urusan penyediaan air bersih melalui Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) itu tertumpu di kawasan penempatan yang terkesan dengan banjir.

Katanya, kerajaan negeri juga sudah berbincang untuk membeli lima lori tangki bagi merealisasikan objektif 'satu jajahan, satu lori tangki' dalam usaha menyelesaikan isu air di seluruh Kelantan.

"Dengan penambahan lori ini, secara tidak langsung melancarkan urusan pembekalan air bersih kepada mangsa banjir memandangkan kita kini berhadapan dengan Monsun Timur Laut (MTL) yang menjejaskan sumber air bersih di sesetengah kawasan.

"Sebelum ini, sebanyak sembilan lori tangki disediakan untuk keperluan setempat, selain kerajaan negeri mengambil inisiatif menyewa 30 lori daripada syarikat swasta bagi memastikan bekalan air bersih sampai kepada rakyat yang terjejas.

"Segala usaha ini membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan serta kepekaan pihak kami kepada mangsa banjir untuk mendapat sumber air bersih," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan bantuan kebakaran di Pondok Terusan Limbat, Pasir Tumboh, di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, 10 buah rumah di pondok musnah 90 peratus akibat kebakaran pada Selasa lalu.

Bagaimana pun, hanya lapan rumah yang berpenghuni dan ia tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Azami berkata, sumbangan sebanyak RM10,000 diberikan kepada pengurusan pondok dan mangsa yang terbabit bagi meringankan beban mereka.

"Kita berharap melalui sumbangan ini boleh sedikit sebanyak membantu mereka yang mungkin masih trauma dengan apa yang berlaku.

"Sumbangan ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri membantu masyarakat yang ditimpa musibah termasuk mangsa bencana alam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Disember 2022 @ 2:34 PM
Azami (dua dari kanan) diiringi oleh Setiausaha Agong Pondok Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah (kanan) melawat keadaan kawasan rumah yang hangus membabitkan 10 buah rumah sewa dalam kebakaran di Kampung Terusan Limbat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Azami (dua dari kanan) diiringi oleh Setiausaha Agong Pondok Pasir Tumboh, Ahmad Shairazi Atiqullah (kanan) melawat keadaan kawasan rumah yang hangus membabitkan 10 buah rumah sewa dalam kebakaran di Kampung Terusan Limbat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR