KAKITANGAN AKSB menghantar bekalan air bersih kepada penduduk Taman Tropika, Gua Musang dengan menggunakan lori tangki, semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM
KAKITANGAN AKSB menghantar bekalan air bersih kepada penduduk Taman Tropika, Gua Musang dengan menggunakan lori tangki, semalam. FOTO RAMLI IBRAHIM
Ramli Ibrahim


“KELUHAN kami berhubung masalah bekalan air terputus mendapat perhatian segera Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB),” kata Mohd Sani Osman, 53, penduduk di Taman Tropika, Gua Musang.

Menurutnya, AKSB bukan saja membekalkan air bersih dengan menyediakan lori tangki, malah membaiki kerosakan tangki besar di taman terbabit.

Katanya, air bersih lori tangki itu disediakan 6 petang semalam manakala pembaikan tangki air itu siap 10 malam tadi.

“Masalah bekalan air terputus dihadapi penduduk taman ini sejak empat hari lalu sudah selesai dengan cepat.

“Hanya lebih 100 keluarga penduduk taman yang tinggal di kawasan tinggi kerap berdepan masalah berkenaan,” katanya.

Semalam, portal berita Harian Metro melaporkan sebahagian penghuni taman itu mengadu sudah dua hari tidak mandi kerana masalah air terputus dan sukar untuk ke sungai berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

Mereka hanya mendapat ihsan jiran yang memiliki kenderaan pacuan empat roda bagi mengangkut air bersih dari kampung lain khusus untuk memasak sahaja.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan masalah bekalan air terputus di taman itu sudah selesai.

Beliau berkata, AKSB Machang menyediakan lori tangki membawa air bersih itu dan kakitangan AKSB turut membaiki di tangki besar taman itu yang menjadi punca air paip terputus.

Berita berkaitan

'Sengsara bekalan air terputus'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Mac 2020 @ 3:11 PM