GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


SEBANYAK 32,018 akaun pengguna di lebih 100 kawasan di jajahan Machang, Pasir Puteh, Kota Bharu Selatan dan Timur mengalami gangguan bekalan air bermula hari ini hingga 29 Ogos ini.

Ketua Jabatan Komunikasi Korporat dan Latihan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Mat Noor Awang berkata, gangguan itu berikutan kerja-kerja kecemasan pembaikan paip mentah jenis GRP bersaiz 1,100 milimeter (mm) yang pecah di Kampung Pulai Chondong, Machang.

Katanya, kerja membaik pulih dijangka mengambil masa selama tiga hari berikutan kebocoran besar serta faktor kedalaman paip di tapak menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong diberhentikan sementara waktu.

"Ia bermula pada 9 pagi hari ini, dan semua kawasan terjejas dijangka mendapat bekalan secara berperingkat pada 10 malam Sabtu ini.

"Pihak kami sudah menguruskan penghantaran air melalui lori tangki dan pengisian air ke tangki statik kepada pengguna yang terjejas sepanjang tempoh gangguan bekalan air," katanya kepada pemberita dalam sidang media khas Penutupan LRA Merbau Chondong di Wisma AKSB, di Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Operasi AKSB Wan Khairuddin Wan Omar dan Ketua Jabatan Pengeluaran dan Fasiliti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) Wan Zamri Wan Hamat.

Mat Noor berkata, bagi mengatasi masalah pengguna, AKSB sudah menyediakan enam lori tangki yang membabitkan lori tangki dari jajahan Tanah Merah, Kuala Krai, Tumpat, Pasir Mas, Machang dan Pasir Puteh bagi mengagihkan air ke kawasan terjejas yang beroperasi 24 jam.

"Selain itu, kami juga menyediakan tangki statik berkapasiti 500 gelen di lokasi terpilih mengikut keperluan.

"Keutamaan penghantaran air diberikan kepada kawasan pengguna akaun besar dan kritikal seperti Pusat Akhlak Machang; Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan kuarters IPD Machang; Sekolah Berasrama Penuh Sains Machang; Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta sekolah, kantin dan asrama sekolah," katanya.

Beliau berkata, senarai lengkap kawasan terjejas dan stesen pengisian air setempat boleh dirujuk melalui aplikasi MyAKSB yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

Sebarang pertanyaan dan info mengenai gangguan bekalan air boleh menghubungi PINTAS di talian 15777 dan WhatsApp di nombor 019-5755777.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 1:45 PM