MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Guan Eng. Foto Arkib  NSTP
MUHAMMAD Sanusi (kiri) dan Guan Eng. Foto Arkib NSTP
Rohaniza Idris


Kuala Lumpur: Dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung Pulau Pinang milik Kedah jelas melanggar Perlembagaan Persekutuan yang akan menjejaskan perpaduan negara, kata bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Pengerusi DAP itu berkata, Perlembagaan Persekutuan memberikan keabsahan kepada kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu daripada 13 negeri yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Katanya, ini boleh dilihat dan dibuktikan melalui Jalur Gemilang yang ada bintang pecah 14 dan 14 jalur melambangkan 13 buah negeri (termasuk Pulau Pinang) dan Wilayah Persekutuan.

"Jata Negara Malaysia ada imej pokok pinang dan jambatan Pulau Pinang yang mewakili negeri Pulau Pinang. Selain itu, Pulau Pinang dan Kedah sudah mewartakan enakmen negeri yang meletakkan sempadan negeri di 'garis pusat' Sungai Muda pada 1985.

"Enakmen ini menyatakan sebahagian daripada Sungai Muda dimiliki oleh Pulau Pinang, maka Pulau Pinang berhak untuk menimba air dari Sungai Muda. Malah, ada batu penanda sempadan di Pinang Tunggal yang bertujuan membahagikan kawasan antara Kedah dan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan terbaru Muhammad Sanusi yang menyatakan Pulau Pinang hak milik Kedah, yang mana ketika ini Perak dan Perlis adalah satu-satunya negeri yang mempunyai sempadan dengan negeri itu.

Isnin lalu, Muhammad Sanusi ketika Majlis Menandatangani Perjanjian Sempadan Darat dan Maritim Antara Kedah Perlis, mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

"Jadi tak dak la (tiada) sempadan Kedah Pulau Pinang tu, sempadan negeri kita (Kedah) dok sebelah Balik Pulau, dengan Perak mungkin ada... nak ukur kat mana, nak pakai warta (undang-undang) nombor berapa?" katanya.

Guan Eng berkata, sebagai seorang Menteri Besar, Muhammad Sanusi dilihat tidak meneliti, tidak mendengar dan tidak ambil peduli fakta sebenar.

Katanya, dalam keadaan sedar, beliau membuat kenyataan bahawa 'Pulau Pinang masih hak Kedah', membayangkan dasar PAS kini adalah untuk meletakkan Pulau Pinang di bawah negeri Kedah.

"Dengan pendirian sedemikian, kenapa PAS masih nak tanding di Pulau Pinang, dan bagaimana PAS boleh mewakili rakyat Pulau Pinang?

"Kita juga mahu tahu adakah Ahli Dewan Undangan (Adun) PAS di Pulau Pinang dan rakan sekutu Perikatan Nasional (PN) iaitu BERSATU dan Gerakan akan bangun mempertahankan kedaulatan Pulau Pinang dan hak anak negeri Pulau Pinang, menentang kenyataan Sanusi, dan meminta beliau minta maaf kepada rakyat Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata, kenyataan Sanusi bukan saja mengguriskan hati dan menghina rakyat Pulau Pinang, malah beliau juga mencabar kedaulatan Pulau Pinang, menggugat perpaduan negara, tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan.

"Demi pilihan raya negeri, beliau sanggup menghasut sentimen orang ramai. Beliau bukan sosok yang cintakan keamanan dan keharmonian dalam negara ini dan menjadi pemimpin yang sangat berbahaya kepada negara.

"Saya berharap rakyat Pulau Pinang dapat melihat dengan jelas wajah sebenar PN. Ini aksi untuk elak rakyat fokus kepada kegagalan pemimpin negeri terutamanya isu air.

"Saya juga percaya rakyat Pulau Pinang mempunyai mata yang tajam dan pastinya akan melindungi Pulau Pinang dari kerakusan kuasa pemimpin PN," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mei 2023 @ 11:50 AM