Anggota bomba memadamkan kebakaran di stor berkenaan. FOTO ihsan bomba
Anggota bomba memadamkan kebakaran di stor berkenaan. FOTO ihsan bomba
Ekhwan Haque Fazlul Haque


LELAKI maut selepas melecur dalam kebakaran stor penyimpanan tong gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel di Jalan Sekolah Kebangsaan Pengkalan Lobang di Mukah, hari ini.

Kejadian pada 2 petang itu menyebabkan Sim Tan Bee, 61, melecur pada muka dan perut sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Mukah.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.16 petang sebelum sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah ke lokasi.

Menurutnya, mangsa yang cuba menyelamatkan diri ketika kejadian melecur sebelum dihantar ke Hospital Mukah oleh keluarganya.

"Siasatan awal mendapati aktiviti memindah bahan bakar dari tong besar ke botol kecil sedang dijalankan sebelum berlaku percikan api yang menyambar tangan mangsa.

"Kebakaran itu kemudiannya turut merebak ke ruangan penyimpanan minyak diesel serta gas silinder LPG menyebabkan keseluruhan struktur premis musnah," katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang parah kerana melecur bagaimanapun berjaya keluar dari premis dan dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut sebelum disahkan maut.

Katanya, selepas kebakaran dipadamkan sepenuhnya bomba menemui 32 tong gas silinder LPG di premis berkenaan.

"Sebuah rumah yang terletak kurang dua meter dari stor berkenaan bagaimanapun tidak terjejas kerana api sempat dipadamkan sebelum merebak," katanya.

Tambahnya, setakat ini jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan dan pasukan forensik kebakaran akan menjalankan pemeriksaan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 9:44 PM