Mohamed Farid Noh

Kota Tinggi: Keputusan Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, Khamis lalu, membuktikan kejayaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, sejak mengambil alih jawatan itu, tahun lalu.

Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Ismail Sabri sebelum itu turut berjaya apabila pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), diluluskan Dewan Rakyat.

Malah, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, RUU Anti Lompat Parti dan pindaan RUU MA63 itu turut disokong lebih dua pertiga Ahli Parlimen termasuk pembangkang.

"Datuk Seri Ismail Sabri berjaya mencapai dua kejayaan apabila Pindaan perlembagaan Perjanjian Malaysia 1963 menerima sokongan 148 ahli Dewan Rakyat manakala RUU Anti Lompat Parti yang diluluskan 28 Julai lalu, menerima 209 sokongan.

"Ini membuktikan kejayaan Perdana Menteri mencatatkan sokongan lebih dua pertiga kerana disokong majoriti Ahli Parlimen termasuk pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di sini, hari ini.

MAHDZIR ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan KEJORA, Bandar Penawar. FOTO Nur Aisyah Mazalan
MAHDZIR ketika menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Dewan KEJORA, Bandar Penawar. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Khamis lalu, RUU Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat lompat parti diluluskan dengan undi majoriti dua pertiga ahli Dewan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilaporkan berkata, seramai 209 ahli Parlimen bersetuju dan 11 ahli Parlimen tidak hadir menerusi undi belah bahagian di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang itu pertama kali dibacakan pada 11 April lalu, bagaimanapun, ia kemudian dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Menimbang RUU tersebut berikutan tafsiran Perlembagaan dan 'lompat parti' yang luas.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan MA63 bagi memberi pengiktirafan kepada tuntutan dan status istimewa Sabah dan Sarawak apabila membentuk Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Julai 2022 @ 3:26 PM