Voon Lee Shan (berjubah) bersama sebahagian plaintif selepas Hakim Mahkamah Tinggi menolak saman mereka untuk mengisytihar MA63 tidak sah. FOTO NADIM BOKHARI
Voon Lee Shan (berjubah) bersama sebahagian plaintif selepas Hakim Mahkamah Tinggi menolak saman mereka untuk mengisytihar MA63 tidak sah. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kuching: Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menolak saman sivil yang difailkan oleh 12 plaintif yang mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) disytihar sebagai tidak sah.

Hakim Alexander Siew How Wai, ketika menyampaikan keputusan penghakimannya berkata, mahkamah menolak tuntutan itu kerana menganggap perkara itu tidak kukuh.

Saman itu difailkan 12 plaintif yang mewakili Parti Bumi Kenyalang (PBK) pada 24 Nov 2021 bagi meminta mahkamah menilai kesahihan pengisytiharan MA63 dan pembentukan Malaysia.

Mereka ialah Dorus Katan Juman @ Theodorus Katan, Hugh Lawrence Zehnder, Xavier Ginafah Sidop, Jemain Uji, Belayong Nyandang, Kalai Sibok, Yu Chin Liik, Chieng Kung Chiew, Changieng Mapang, Ahmad Awang Ali, Giovanni Adlim Mideh dan Nor Nyawai.

Kerajaan British, kerajaan Malaysia dan Sarawak dinamakan sebagai defendan dalam tuntutan saman itu.

Plaintif yang diwakili peguam yang juga Presiden PBK, Voon Lee Shan, berhujah bahawa MA63 adalah perjanjian yang tidak sah mengikut undang-undang antarabangsa.

Berikutan itu, mereka meminta supaya undang-undang untuk hak kebebasan dan kemerdekaan Sarawak seperti dalam resolusi 1514 dan 1501, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) digunakan.

Bagaimanapun, pada 13 April 2022, kerajaan Sarawak memfailkan permohonan untuk menolak saman itu atas alasan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk membatalkan perjanjian antarabangsa seperti MA63.

Selain Lee Shan, plaintif turut diwakili oleh naib presiden Parti itu, Peli Aron manakala kerajaan Sarawak pula diwakili Datuk Seri JC Fong.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 5:12 PM