FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 27 Julai ini untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng bagi menggantung prosiding pendengaran saman fitnah difailkan MCA terhadapnya.

Ini berkaitan dakwaan beliau bahawa parti itu menyalahgunakan dana awam dan kerajaan yang diperuntukkan untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Peguam How Pek Lean, yang mewakili MCA selaku plaintif memaklumkan perkara itu kepada media selepas pengurusan kes di dalam kamar di hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff.

How berkata mahkamah menetapkan tarikh itu untuk mendengar permohonan Lim selaku defendan sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung saman fitnah itu.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan Lim untuk kebenaran meneruskan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan saman itu.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar dan memutuskan satu persoalan undang-undang iaitu sama ada parti politik boleh memfailkan saman fitnah terhadap individu. Bagaimanapun tarikh pendengaran rayuan itu belum ditetapkan.

Pada 27 Februari 2018, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lim untuk membatalkan saman itu dan beliau turut gagal di Mahkamah Rayuan selepas rayuannya ditolak atas alasan terdapat isu yang perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pada Julai 2017, Setiausaha Agung MCA ketika itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan bagi pihak MCA memfailkan saman fitnah terhadap Lim berhubung satu ucapan di lobi Parlimen pada 15 Mac 2017 yang kemudian diterbitkan dalam pelbagai media cetak dan digital.

MCA mendakwa kenyataan fitnah itu antaranya membawa maksud bahawa MCA menggunakan dana kerajaan yang diperuntukkan untuk SJKC dan melakukan rasuah sehingga reputasi parti itu terjejas teruk.

Plaintif menuntut ganti rugi am, teladan RM100 juta, perintah injunksi supaya defendan melalui dirinya atau wakil dihalang daripada menerbitkan, mengeluarkan dan mencetak perkataan sama yang memfitnah plaintif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 2:33 PM