GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Iskandar Ibrahim

Kuching: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan pihaknya menahan Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK), Voon Lee Shan.

SPRM Sarawak dalam satu kenyataan turut menafikan dakwaan Lee Shan dikejar anggotanya, sebaliknya hanya menyampaikan notis pemakluman kerjasama supaya beliau memberikan kerjasama dalam menjalankan siasatan.

"SPRM mengesahkan satu siasatan dibuat berhubung klip video yang disebarkan oleh seorang lelaki bernama Voon Lee Shan yang juga PBK dalam tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12.

"SPRM Sarawak beberapa kali cuba menghubungi beliau namun beliau gagal dihubungi tetapi pada 12 Disember 2021, SPRM berhasil mengesan dan berjumpa dengannya di sekitar Kenyalang Park," katanya.

Menurut kenyataan itu, SPRM menjelaskan kepada beliau mengenai keperluan untuk hadir ke Pejabat SPRM bagi membantu siasatan.

Malah, beliau turut diserahkan Notis hadir pemeriksaan seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009 sebagaimana kehendak undang undang.

"Jadi, dakwaan berlaku adegan kejar mengejar adalah tidak benar begitu juga dakwaan tangkapan dilaksanakan ke atas beliau juga adalah tidak benar.

"Lee Shan juga memberi kerjasama dan hadir ke pejabat SPRM Kuching pada pagi ini untuk membantu siasatan," katanya.

Justeru, SPRM menegaskan sentiasa menjaga etika dan bersifat profesional ketika menjalankan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang.

Lee Shan dilaporkan mendakwa beliau ditahan oleh pegawai SPRM pagi ini.

Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Lintang itu berkata, beliau sedang memandu keretanya melintasi Kenyalang Park apabila diarah berhenti oleh sebuah kenderaan lain.

Malah beliau tidak tahu punca penahanan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Disember 2021 @ 2:58 PM