GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman seorang bekas pelajar sekolah pendidikan khas terhadap sekolah dan tiga defendan lain termasuk Kerajaan Malaysia kerana gagal menyediakan pendidikan berkualiti selaras dengan ketidakupayaannya.

Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dalam penghakimannya berkata, mahkamah mendapati defendan tidak melanggar undang-undang kecuaian dalam menyediakan persekitaran yang selamat dan terjamin untuk pelajar keperluan khas.

"Selain itu, mahkamah tidak menemui bukti lisan daripada saksi plaintif (pelajar) yang menyokong ketegasannya terhadap tugas defendan untuk menyediakan pendidikan khas, kemudahan dan perkhidmatan untuk pelajar istimewa," kata hakim itu selepas menimbangkan keterangan daripada kesemua 22 saksi..

Pada 26 Mei 2017, pelajar berkenaan, kini berusia 25 tahun, dan ibu angkatnya memfailkan saman dengan menamakan pengetua, sekolah pendidikan khas, Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga keempat.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati dakwaan plaintif bahawa defendan gagal menyediakan sistem pendidikan yang berstruktur dan bersesuaian dengan kemampuan dan keperluan pelajar pendidikan khas hanya dakwaan kosong dan sesuatu yang difikirkan kemudian.

Menurutnya, mahkamah juga mendapati plaintif gagal membuktikan empat dakwaan kejadian buli kerana siasatan polis gagal menemukan barang bukti dakwaan buli atau saksi kepada dakwaan tersebut.

"Tiada bukti pergaduhan, malah daripada siasatan polis. Insiden buli tidak dibuktikan," kata hakim itu.

Beliau seterusnya berkata sekiranya ibu angkat plaintif tidak berpuas hati dengan keadaan anak lelaki di sekolah, pilihan terbaik seterusnya ialah mengeluarkan anaknya daripada sekolah berkenaan.

"Bagaimanapun, anak lelaki itu terus kekal di sekolah itu sehingga tamat pengajian di sana. Oleh itu, tuntutan itu tidak berasas.

"Selepas meneliti keseluruhan keterangan, bukti dan fakta, saya dengan ini membatalkan saman ini dengan kos," katanya.

Mahkamah kemudian mengarahkan kedua-dua plaintif (anak dan ibu angkat), membayar kos sebanyak RM10,000.

Bekas pelajar itu diwakili peguam, Sangeet Kaur Deo manakala pihak defendan diwakili Peguam Persekutuan, Safiyyah Omar.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif yang didiagnosis sindrom kecelaruan Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) ketika berusia empat tahun dan mempunyai masalah kaki yang menyukarkan dia untuk duduk di lantai, mendakwa bahawa dia didaftarkan di sekolah menengah pendidikan khas itu pada 18 Januari 2016 dan diberi penginapan di asrama sekolah.

Plaintif mendakwa bahawa dia dibuli beberapa kali oleh pelajar lain ketika berada di asrama, termasuk diludah ketika dia sedang solat, diikat di katilnya, ditumbuk dan ditendang, dan barang-barangnya dicuri.

Plaintif mendakwa walaupun banyak aduan dibuat namun tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah dan pengetuanya.

Dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 24 Julai 2017, pihak sekolah menyatakan penempatan pelajar terbabit dibuat berdasarkan pilihan anak dan ibu angkatnya semasa pendaftaran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 8:58 PM