GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO NSTP
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Mekanisme subsidi bersasar penggunaan elektrik bagi golongan T20 akan dilaksanakan selepas sistem Pangkalan Data Utama (PADU) siap, dijangka hujung tahun ini.

Menteri Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, mekanisme berkenaan akan dibuat berdasarkan pendapatan golongan berkenaan.

Buat masa ini katanya, kementerian sedang meneliti opsyen Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang munasabah kepada pengguna elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 1 Disember 2023.

katanya, ia selaras dengan fokus semasa kerajaan supaya pemberian subsidi dilaksanakan secara bersasar berdasarkan jumlah penggunaan elektrik mengikut kediaman bagi pengguna kategori domestik, terutama yang menggunakan elektrik dengan kadar yang tinggi.

"Bagi saya, ini perkara yang prinsipnya kita tidak persoalkan. Jika satu rumah T20 itu, kita andaikan ada lima hingga tujuh pendingin hawa, pengering, ada banyak kelengkapan lain dan bil elektriknya sehingga RM700 atau lebih, tidak patutlah mereka dapat subsidi yang lebih berbanding B40 dan M40.

"Disebabkan ia berdasarkan penggunaan, maka mereka menikmati lebih banyak subsidi dari segi ringgit, berbanding pengguna B40 dan M40. Dari segi prinsipnya, tidak adil.

"Bagaimanapun, untuk melaksanakannya, kita perlu ada sistem PADU," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai pemansuhan subsidi elektrik bagi T20, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Nik Nazmi berkata, kerajaan mahu menumpukan kepada model pembangunan ekonomi nilai tinggi dan mencapai kecekapan tenaga serta peralihan kepada tenaga boleh baharu.

"Hanya jika kita betul-betul lepaskan kos itu kepada pengguna voltan tinggi dan sederhana, dan pengguna besar atau T20, baru kita dapat mencapai objektif itu.

"Keputusan untuk ICPT seterusnya akan dibuat selepas pembentangan dan persetujuan di peringkat Jemaah Menteri dalam masa terdekat," katanya.

Menjawab soalan asal Poay Tiong mengenai perbelanjaan subsidi yang dijimatkan kerajaan berikutan pelarasan ICPT pada Januari lalu, Nik Nazmi menjelaskan, penjimatan subsidi adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 dan kos itu dilepaskan kepada pengguna secara bersasar.

"Kerajaan memberikan komitmen untuk menampung subsidi bil elektrik berjumlah RM10.76 bilion bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 untuk memastikan seramai 9.5 juta pengguna elektrik, yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mei 2023 @ 2:50 PM