Kebakaran yang memusnah, 48 kediaman dan lapan buah kedai di Kampung Baru Karak, malam tadi. Gambar Ihsan Orang ramai
Kebakaran yang memusnah, 48 kediaman dan lapan buah kedai di Kampung Baru Karak, malam tadi. Gambar Ihsan Orang ramai
BERNAMA

Bentong: Kerajaan Persekutuan membantu membangunkan semula penempatan di Kampung Baru Karak, di sini yang musnah dalam kebakaran besar pada 1 Oktober lalu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata, perancangan pembangunan semula itu akan dibincangkan bersama kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail selain turut mengambil kira pandangan dan suara penduduk.

Selain itu, turut terbabit ialah pandangan daripada Jawatankuasa Pembangunan Semula Kampung Baru Karak yang dipengerusikan bekas Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai yang mengambil inisiatif menubuhkan jawatankuasa itu bagi meringankan beban mangsa terbabit.

"Kami dimaklumkan bahawa jawatankuasa tersebut telah membuat perancangan awal mengenai pembangunan semula dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk jurutera, arkitek dan juruukur selain mendapatkan pandangan wakil penduduk.

"Cadangan pembangunan ini akan dibincangkan untuk dibawa ke Kabinet dan berharap ia dapat dilakukan secepat mungkin bagi kemudahan mangsa bencana terlibat," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa kebakaran itu di sini, hari ini.

Sempena lawatan itu, Halimah turut menyampaikan sumbangan daripada kementerian berjumlah RM189,000 kepada mangsa kebakaran dalam kejadian sekitar 9 malam itu yang mengakibatkan 51 rumah dan sembilan unit kedai musnah.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

Halimah yang kini dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal kampung baru Cina berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yakaob telah mengarahkan beliau dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA untuk bertemu mangsa dan meninjau bantuan diperlukan mangsa.

Halimah juga tidak menolak kajian lanjut perlu dilakukan di kampung baru seluruh negara untuk meningkatkan aspek keselamatan, bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang pada masa hadapan.

Difahamkan terdapat 613 kampung baru di Malaysia termasuk lebih 400 kampung yang diwujudkan ketika zaman darurat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 4:08 PM