Balu jurukamera TV3 terima sumbangan Kasih@Hawana. FOTO BERNAMA
Balu jurukamera TV3 terima sumbangan Kasih@Hawana. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Manjung: Haslinda Ahmad, balu kepada jurukamera TV3 Allahyarham Rosli Abu Bakar, menerima sumbangan inisiatif Kasih@Hawana 2023, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2023 yang akan disambut pada 29 Mei ini.

Sumbangan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital, Pusat Pakaian Hari-Hari, Mydin dan Aeon Big itu disampaikan kepada Haslinda, 59, oleh Ketua Biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Perak, Syamsiah Sahat, semalam.

Turut hadir, wakil Astro Awani Perak yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Abd Razak Mohd Ali; Ketua Biro Sinar Harian Perak Saifullah Ahmad dan wakil TV3 di Perak Shaharil Kadir.

Allahyarham Rosli, jurukamera TV3 Biro Perak meninggal dunia pada usia 59 tahun akibat komplikasi kencing manis, darah tinggi dan jantung di Hospital Manjung, pada 9 Mei lepas.

Beliau berkhidmat dengan TV3 sejak 1986 dan pernah berkhidmat di Biro Pulau Pinang sebelum bertugas di Perak iaitu negeri kelahirannya.

Sementara itu, program Kasih@Hawana yang dilaksanakan melalui Bernama selaku agensi pelaksana Hawana 2023 juga menyantuni wartawan dan petugas media yang memerlukan, sama ada yang masih dalam perkhidmatan mahupun yang sudah bersara di seluruh negara.

Sambutan Hawana 2023 bakal diadakan di Ipoh, Perak dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema 'Media Bebas, Tunjang Demokrasi' untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.

Majlis Kemuncak Hawana 2023 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Mei.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional sempena penerbitan pertama akhbar di Malaysia iaitu Utusan Melayu pada 29 Mei 1939, yang menjadi platform pertama media di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 10:58 AM