Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Akmal. FOTO BERNAMA
Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Akmal. FOTO BERNAMA
Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Jamhariah. FOTO BERNAMA
Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Jamhariah. FOTO BERNAMA
Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Azran. FOTO BERNAMA
Jamaluddin, Nur-ul Afida Kamaludin serta Arul Rajoo menyampaikan sumbangan kepada Azran. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Tiga bekas wartawan hari ini menerima sumbangan menerusi inisiatif Tabung Kasih@HAWANA.

Mereka ialah Azran Md Jaafar iaitu bekas wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Akmal Abdullah (bekas Pengarang Hiburan Berita Harian) dan Jamhariah Jaafar (bekas wartawan Berita Harian).

Penyerahan sumbangan di kediaman ketiga-tiga penerima disempurnakan oleh Ketua Pengarang Bernama Jamaluddin Muhammad dan turut hadir Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Nur-ul Afida Kamaludin serta Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Arul Rajoo Durar Raj.

Tabung Kasih@HAWANA merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) serta dilaksana menerusi Bernama sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan kesukaran dan cabaran hidup.

Juli Suriati Jaafar, isteri kepada Azran, berkata meskipun menghidapi kanser lidah tahap 4 namun suaminya masih mempunyai semangat kewartawanan yang tinggi serta mampu menulis, berkarya dan membaca buku-buku yang dibeli.

"Walaupun sekarang dia tidak buat kerja wartawan tetapi dia masih minat menulis, kalau pergi mana-mana, dia suka mengumpul barang-barang istimewa, membaca dan mengumpul buku, tidak kisah sama ada harganya mahal atau murah," katanya kepada Bernama.

Akmal pula berkata inisiatif Tabung Kasih@HAWANA cukup bermakna kepada beliau sekeluarga khususnya menjelang sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

"Saya menghidapi sakit buah pinggang kronik, darah tinggi dan gout sejak tahun 2015. Rawatan dialisis saya juga menelan perbelanjaan yang besar iaitu sekitar RM230 hingga RM290 setiap minggu.

"Mujur ada bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang turut menampung kos rawatan saya selain keprihatinan rakan-rakan media. Alhamdulillah, sumbangan Tabung Kasih@HAWANA ini dapat membantu kami melakukan persiapan bagi Aidiladha," katanya.

Bagi Jamhariah, Tabung Kasih@HAWANA adalah antara program dan platform yang baik untuk membantu rakan-rakan media yang memerlukan.

Katanya dahulu beliau cukup aktif dalam kesatuan di tempat kerja dan antara impian bersama rakan-rakan ialah memastikan ada inisiatif seperti Tabung Kasih@HAWANA yang membantu pengamal media yang memerlukan.

"Saya berterima kasih kepada HAWANA dan ini merupakan sumbangan besar daripada HAWANA," katanya yang menghidapi ketumbuhan di tulang belakang sejak Mac lalu.

Sementara itu, Nur-ul Afida berkata sumbangan tersebut adalah bagi membantu wartawan veteran dan petugas media yang berdepan masalah kesihatan serta kesukaran hidup.

"Sebelum ini, kita telah memberi sumbangan kepada enam penerima dan hari ini, kita menyantuni tiga lagi rakan media. Sumbangan ini adalah daripada peruntukan KKD untuk program tanggungjawab sosial korporat sempena HAWANA 2023 selain sumbangan rakan-rakan strategik," katanya.

Mengambil maklum luahan Akmal yang terpaksa menanggung kos tinggi bagi rawatan dialisis, Nur-ul Afida berharap perkara itu dapat dipertimbang oleh kerajaan bagi membantu pesakit buah pinggang khususnya yang berdepan masalah kewangan.

Sejak April lepas, enam pengamal media menerima sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA iaitu Muhammad Basir Abu Bakar, Mohd Sidek Salleh, Allahyarham Rosli Abu Bakar (sumbangan disampaikan kepada balu, Puan Haslinda Ahmad), Ou So Ha @ Ou Kok Meng, V. Maniam dan Haron Shafei.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Jun 2023 @ 6:30 PM