AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat HLC Mengenai Task Force Sekolah-Sekolah Tahfiz. FOTO Mohd Fadli Hamzah
AHMAD Zahid Hamidi ketika mempengerusikan Mesyuarat HLC Mengenai Task Force Sekolah-Sekolah Tahfiz. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


KERAJAAN hari ini bercadang meminda AKTA Pendidikan 1996 atau Akta 550 bagi memasukkan soal pendaftaran institusi pendidikan agama swasta.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara berkenaan akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, esok untuk mendapat kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentang di Parlimen.

"Ketika ini, soal sekolah agama swasta tidak tercatat dalam Akta 550 dan tidak tertakluk pada akta ini, jadi mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang pertama mencadangkan ia dimasukkan dalam akta berkenaan.

"Kita akan membaca cadangan ini dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok dan jika diterima akan dibawa ke Dewan Rakyat dan Dewan Negara untuk diluluskan sebelum diperkenankan Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, hari ini.

Mesyuarat yang berlangsung lebih dua jam itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Karim; Menteri

Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; dan Menteri

Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, perkara berkenaan juga perlu dibincangkan dengan kerajaan negeri memandangkan soal agama Islam berada dalam bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu, katanya, Jamil Khir akan diberi tanggungjawab untuk memberi penjelasan dan berhubung rapat dengan kerajaan Negeri mengenai perkara ini.

"Kita perlu perjelaskan kepada kerajaan Negeri dahulu, kemudian boleh pinda. Perkara ini sangat sensitif dan menghormati kuasa negeri, dalam kes ini Raja-raja adalah ketua agama di negeri,"katanya.

Beliau berkata, antara syor lain yang diketengahkan dalam mesyuarat berkenaan adalah mewujudkan kerangka kriteria kelulusan bagi pembentukan dan pengurusan Maahad Tahfiz seluruh negara dengan spesifikasi piawaian oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan agensi penguatkuasaan lain.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengesyorkan supaya piawaian minima yang harus dipatuhi setiap premis Maahad Tahfiz termasuk rumah anak yatim, sekolah agama, tadika dan pusat jagaan kanak-kanak dan orang tua.

"Kita juga akan menggalak penubuhan Bomba sukarela di premis berkenaan. Malah, pendaftaran Maahad Tahfiz diselaraskan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan supaya tidak timbul soal prasangka pengambilan dan pertindihan kuasa antara kedua-dua pihak.

"Syor lain adalah pengawalan dan tanggungjawab bersama antara kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menyelaraskan pentadbiran dan memberikan penyaluran kewangan jika perlu," katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua cadangan itu turut dibawa pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, petang ini.

Katanya, ketika ini terdapat 941 Maahad Tahfiz swasta yang menjadi ahli Persatuan Madrasah Tahfiz al-Quran Malaysia, tetapi tidak berdaftar dengan kerajaan membabitkan 9,470 guru dan lebih 150,000 pelajar.

Menurutnya, dari jumlah itu hanya 612 berdaftar dengan pihak berkuasa negeri dan Kementerian Pendidikan manakala 321 lagi tidak berdaftar dengan mana-mana badan.

Selain itu, terdapat 21 Maahad Tahfiz yang dikendali kerajaan negeri membabitkan 4,506 pelajar dan pembiayaannya dikendalikan kerajaan negeri melalui pejabat agama Islam negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 September 2017 @ 5:41 PM