TANGKAP layar daripada video tular yang mendakwa berlaku kebakaran kecil di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
TANGKAP layar daripada video tular yang mendakwa berlaku kebakaran kecil di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Insiden kepulan asap di Bilik High Voltage di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, semalam berpunca daripada isyarat palsu (false alarm) Sistem Pemadaman Kebakaran Jenis Aerohub yang menyebabkan gas aerosol dibebaskan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, pengurusan HSA dan syarikat konsesi sudah menghubungi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menutup bekalan elektrik ke punca bekalan masuk utama elektrik.

Katanya, ia bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap punca pengaktifan sistem pemadam kebakaran itu serta memastikan keselamatan fasiliti HSA.

"Kejadian di bilik yang terletak di antara bangunan induk dan bangunan poliklinik HSA itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

"Sistem UPS dan Janakuasa Tunggu Sedia hospital berada dalam keadaan baik dan berfungsi untuk memastikan perkhidmatan berjalan lancar.

"Unit Keselamatan turut bekerjasama dalam memastikan lokasi kejadian dalam keadaan selamat dan hasil pemeriksaan, didapati kepulan asap tersebut adalah berpunca dari false alarm Sistem Pemadaman Kebakaran Jenis Aerohub yang menyebabkan gas aerosol dibebaskan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ling menjawab laporan portal yang mendakwa berlaku kebakaran kecil di HSA dengan dakwaan itu turut tular di media sosial sejak semalam.

Menurutnya, selepas kejadian pihak pengurusan dan jurutera HSA, syarikat konsesi serta TNB sudah mengambil langkah awal dengan memeriksa dan mengenalpasti punca kejadian.

"Pihak pengurusan hospital mengambil positif berhubung artikel tersebut, (dan) pemeriksaan serta rondaan berkala dilaksanakan bagi memantau fungsi peralatan dan bekalan elektrik serta air di fasiliti berada dalam keadaan baik.

"Pengurusan hospital bersama pihak konsesi sentiasa berusaha melaksanakan penambahbaikan terhadap peralatan yang uzur atau rosak termasuk menaik taraf sistem bekalan elektrik di hospital, serta memastikan aktiviti penyelenggaraan di hospital dilaksanakan dari semasa ke semasa," kataya.

Beliau berkata, pengurusan HSA juga cakna dan sentiasa berusaha dalam memastikan keselamatan tempat bertugas semua anggota kesihatan serta gangguan pada aktiviti perawatan pesakit menjadi keutamaan HSA.

Untuk rekod, HSA pernah berdepan insiden kebakaran besar di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu yang meragut enam nyawa pada Oktober 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 6:14 PM