GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Kerja pembaikan paip pecah di Jalan Bukit Cherakah, Bandar Puncak Alam, di sini, dijangka selesai Selasa, dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada malam Rabu.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan di Facebook berkata, kerja pembaikan akan bermula 9 pagi Isnin membabitkan paip saluran utama berukuran 2,200 mm diameter dan kawasan agihan berskala besar.

Katanya, kerja pembaikan dijangka siap jam 3 pagi Selasa.

"Pelaksanaan kerja ini bakal menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di wilayah Klang, Shah Alam dan Kuala Selangor kerana tempoh pembaikan dan pemulihan dijangka mengambil masa lama.

"Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat-peringkat apabila kerja pembaikan sudah siap dan sistem agihan utama bekalan air distabilkan," katanya, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan sebanyak 99 kawasan di tiga wilayah akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual bermula Isnin ini.

Menurut kenyataan itu, pelanggan dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Katanya, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.

Dalam pada itu, Air Selangor juga akan menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan-kawasan yang terjejas dengan memberikan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

"Bantuan bekalan air alternatif menerusi empat Pusat Khidmat Setempat (PKS) bakal disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi.

"Bagi pelanggan komersial pula, bekalan air boleh dibeli di kaunter khidmat pelanggan Air Selangor wilayah Petaling dan Kuala Selangor.

"Bagi tujuan ini, pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di tiga stesen pengisian air yang akan dibuka di lokasi ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 3:52 PM