Mohd Roji Kawi


Kuching: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mahu perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama dijadikan sebagai aset penting negara.

Seri Paduka bertitah, setiap rakyat Malaysia harus menjadikan nilai perpaduan itu untuk menjamin masa depan negara yang lebih baik.

Justeru, baginda turut mahukan seluruh rakyat mengurangkan perbezaan kaum dan agama dalam menjalani kehidupan di Malaysia.

"Selepas mendengar ucapan daripada anak-anak muda tadi (dalam sketsa pembukaan majlis) ada tiga perkara saya ingin beri tumpuan.

"Pertamanya, saya terpanggil untuk mengatakan bahawa kita rakyat Malaysia harus menjadikan nilai perpaduan sebagai aset negara paling utama sekali, yang penting demi masa depan," katanya.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada majlis perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2023 di Tebingan Kuching, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud; Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Titah baginda, sebagai rakyat Malaysia yang mencintai keamanan dan keharmonian, semua pihak tidak harus membezakan keturunan serta latar belakang.

"Perkara kedua, kurangkan perbezaan sesama kita sebagai rakyat Malaysia, rapatkan jurang antara kaum dan agama. Yang ketiganya, perpaduan harus bermula dari rumah," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 2:12 PM