Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan sempena pembukaan rasmi Masyuarat Pertama & Kedua Tahun Pertama Persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15. FOTO L MANIMARAN
Sultan Nazrin berkenan memeriksa kawalan kehormatan sempena pembukaan rasmi Masyuarat Pertama & Kedua Tahun Pertama Persidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Ke-15. FOTO L MANIMARAN
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Tindakan tegas dan segera wajib diambil bagi menghentikan aktiviti mana-mana pihak yang meracuni fikiran dan membakar emosi rakyat dengan mengeksploitasi isu agama serta kaum melalui pandangan ekstrim, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Baginda bertitah, pandangan ekstrim berunsur kaum dan agama berbentuk hasutan yang boleh menyemaikan rasa benci serta berpotensi mencetuskan permusuhan sesama warga wajib dihentikan.

Sultan Nazrin bertitah, segala bentuk ancaman dan cabaran yang boleh mencetus pertelingkahan antara kaum, agama dan ideologi politik, hendaklah diuruskan dengan berhikmah dan bijaksana, agar penyelesaian jangka panjang berjaya diolah dan dicapai.

"Bumi ini tidak boleh dibenarkan untuk disemai dengan rumpai-rumpai beracun yang boleh membunuh pohon perpaduan.

"Langit di negeri ini jangan sama sekali dibenarkan untuk diselubungi awan-awan berasid (acidic) yang akan menghujani bumi dengan fahaman ekstremis berlandaskan perkauman dan berpaksikan agama," titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah, kerukunan perhubungan kaum yang diasaskan sejak era pra-merdeka dan terus dipupuk sepanjang era pasca merdeka, tidak boleh diperjudikan.

Titah baginda, banyak negara di dunia berakhir dengan perang saudara kerana rakyatnya memilih untuk berbalah, bertelagah, bersengketa dan berkonfrontasi atas faktor-faktor perbezaan kasta, kaum, warna kulit dan agama.

"Jika kita mahu memperbesarkan perbezaan, kita sebenarnya memilih membina tembok pemisah untuk tidak memungkinkan terbinanya masyarakat yang bersatu, menerima dan meraikan perbezaan dan menghormati realiti kepelbagaian.

"Oleh itu, setiap individu berperanan memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk," titah Sultan Nazrin pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Pertama Dewan Negeri Perak ke-15 di Dewan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Titah baginda, corak kepimpinan Rasulullah SAW sewaktu memimpin masyarakat pelbagai bangsa dan berlainan agama di Madinah, perlu dijadikan tauladan.

Ia juga termasuk hikmah tersirat di sebalik Perjanjian Hudaibiyah yang membuka jalan kepada pembebasan Tanah Suci Makkah dan penyatuan perhubungan orang Islam dengan kabilah Arab lain yang membolehkan masyarakat hidup aman damai.

Sultan Nazrin bertitah, Islam hendaklah dilihat sifatnya sebagai rahmat bagi keseluruhan alam dengan pegangan teguh kepada prinsip keadilan sejagat, menyeru kepada keamanan dan mempelopori kedamaian.

Titah baginda, persefahaman dan hubungan harmoni antara kaum adalah faktor penentu untuk menjamin suasana hidup bernegara dan bernegeri yang aman serta harmoni.

"Oleh itu, setiap individu berperanan memastikan hubungan harmoni antara kaum terus disuburkan dan persefahaman antara pengikut pelbagai agama terus dipupuk," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 1:33 PM