Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Kebakaran di Pencawang Masuk Utama (PMU) Mid Valley, di sini, menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna di sekitar pusat beli-belah berkenaan.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan berkata, gangguan membabitkan pengguna di kawasan terhad sekitar Mid Valley dan sebahagian Desa Pantai.

Menurutnya, susulan itu pihaknya sedang giat menjalankan usaha untuk memulihkan bekalan dan punca kejadian juga sedang dikenal pasti.

"TNB mengesahkan kejadian kebakaran di PMU Mid Valley jam 10.27 pagi, hari ini dan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sedang memadamkan kebakaran.

Anggota Bomba memadamkan kebakaran di Pusat Membeli Belah Mid Valley. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI
Anggota Bomba memadamkan kebakaran di Pusat Membeli Belah Mid Valley. FOTO SAIFULLIZAN TAMADI

"Pasukan teknikal TNB juga sudah digerakkan ke lokasi kejadian dan mengambil langkah segera untuk pemulihan bekalan dengan sebahagian pengguna terbabit sudah mendapat bekalan seawal jam 10.55 pagi," kata kenyataan itu.

Katanya, pihaknya juga sedang berusaha memulihkan bekalan kepada pengguna yang masih terkesan.

"Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 15454 untuk maklumat lanjut.

"Kami memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 1:58 PM