Paya Linda Yahya


Gua Musang: Kemunculan gajah liar sejak Januari lalu di sekitar Pos Brooke dan Tanah Tinggi Lojing membimbangkan lebih 4,000 penduduk di kawasan berkenaan.

Penduduk mendakwa, kejadian terbaru pada Ahad lalu apabila gajah itu bebas berkeliaran di kawasan pejabat dan kuartes Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

Ketua Penghulu Orang Asli Kelantan, Bidi Ronggeng, berkata kemunculan gajah di kawasan awam boleh membahayakan keselamatan orang ramai.

Katanya, gajah itu kerap muncul pada waktu malam sehingga penduduk kini takut keluar malam sekiranya terserempak dengan haiwan liar itu.

"Pada Ahad minggu lalu gajah yang memasuki kawasan pejabat dan kuarters Jakoa ini turut merosakkan pokok pisang dan menyebabkan paip air rosak.

"Kemunculan gajah ini tidak tertumpu pada satu kawasan sahaja, tetapi membabitkan 18 kampung antaranya Kampung Kuala Rengil, Kampung Brooke Lama,Kampung Liak dan Kampung Sengsang.

Jubir menunjukkan kesan ke musnahan yang dilakukan oleh gajah liar di kawasan pejabat dan kuartes Jakoa di Pos Brooke, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Jubir menunjukkan kesan ke musnahan yang dilakukan oleh gajah liar di kawasan pejabat dan kuartes Jakoa di Pos Brooke, di sini. FOTO Paya Linda Yahya

"Kita berharap ada cara lain yang boleh membendung kehadiran gajah liar ini kerana penduduk Orang Asli semakin takut apabila gajah semakin berani menghampiri penempatan mencari sumber makanan," katanya ketika ditemui di Pos Brooke, di sini.

Penghulu Kampung Jekjok, Jubir Sekmo, 52, berkata gangguan gajah liar ini turut membabitkan kawasan di Tanah Tinggi Lojing apabila semakin berani muncul pada waktu siang untuk mencari makanan di tempat pembuangan sayur.

"Masalah ini sebenarnya sudah berlarutan sejak dua tahun lalu, tetapi kemunculan gajah liar tidak sekerap sekarang. Jika dulu dua atau tiga bulan sekali dia (gajah liar) muncul tapi sekarang semakin kerap dan turut masuk ke kawasan klinik kesihatan dan sekolah.

"Tanaman seperti pisang, ubi, dan jagung habis dimusnahkan termasuklah ladang sayur pekebun di kawasan Tanah Tinggi Lojing.

"Kami di sini juga risaukan keselamatan terutama kanak-kanak yang keluar bermain pada waktu petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 11:02 AM