Paya Linda Yahya

Gua Musang: Lebih 500 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini resah dengan kemunculan seekor gajah jantan yang masuk ke perkampungan dan memusnahkan tanaman sejak empat hari lalu.

Dalam kejadian pertama kira-kira jam 9 malam Sabtu lalu, gajah dewasa itu memusnahkan pokok ubi kayu dan pisang yang ditanam penduduk dan berlarutan sehingga tiga hari berturut-turut menyebabkan lebih 20 pekebun mengalami kerugian lebih RM20,000 kerana kebanyakan hasil tanaman sudah boleh dijual.

Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang, 48, berkata kehadiran gajah liar itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di perkampungan Orang Asli suku Temiar itu.

Katanya, pada awalnya penduduk menyangkakan kemunculan haiwan liar itu satu malam sahaja, tetapi gajah itu telah memusnahkan hasil tanaman tiga malam berturut-turut sehingga menyebabkan pekebun kerugian besar.

"Gajah itu masih berada di berhampiran kampung ini dan menimbulkan ketakutan kepada penduduk untuk melakukan aktiviti harian termasuk ke kebun," katanya ketika ditemui di Kampung Brooke Lama di sini.

PENDUDUK kampung menunjukan pokok ubi yang di musnahkan gajah liar di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke. FOTO Paya Linda Yahya
PENDUDUK kampung menunjukan pokok ubi yang di musnahkan gajah liar di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke. FOTO Paya Linda Yahya

Manakala bagi, Muslan Alang, 68, dia melihat dengan jelas kemunculan gajah jantan dewasa itu sedang mandi di sungai berhampiran kampung.

"Ketika dalam perjalanan ke kebun untuk menoreh getah, saya nampak gajah itu sedang mandi di sungai. Saya terpaksa berpatah balik kerana risaukan keselamatan diri.

"Kejadian serangan gajah di kebun penduduk adalah kali pertama di kampung ini sejak kami mengusahakan kebun lebih 40 tahun lalu.

"Gajah itu masih ada di hutan berhampiran dan kami bimbang jika keadaan berterusan akan menjejaskan sumber makanan serta pendapatan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Along Ronggeng, 59, berkata, dia berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera kerana haiwan liar itu dipercayai berkeliaran dalam kawasan kampung pada waktu malam.

"Kami sudah melaporkan masalah gajah itu kepada pihak berwajib dan berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) cepat bertindak.

"Kami yakin gajah liar itu akan keluar semula bagi memusnahkan kebun dan tinggal selama berbulan-bulan di kampung ini sekiranya tidak dipindahkan" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 11:24 AM