Sebahagian mercun dan bunga api yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Taman Desa Impian, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Sebahagian mercun dan bunga api yang dirampas polis dalam serbuan di sebuah premis di Taman Desa Impian, Langkawi. FOTO IHSAN POLIS
Hamzah Osman


Langkawi: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 405 karton rokok seludup pelbagai jenama dan 738 kotak mercun serta bunga api pelbagai jenis bernilai RM34,100 menerusi Op Kontraban, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, lelaki berusia 47 tahun itu ditahan di sebuah kedai runcit di Mukim Kuah, di sini, pada 12.15 tengah hari.

"Suspek yang juga pemilik kedai itu ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti penjualan dan pengedaran rokok seludup dan mercun serta bunga api tidak berlesen.

"Susulan itu, sejam kemudian, suspek membawa polis ke sebuah rumah di Taman Desa Impian yang dijadikan tempat penyimpanan bahan terlarang itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shariman berkata, hasil pemeriksaan menemui 405 karton rokok tidak dibayar cukai dan 738 kotak mercun dimiliki secara haram.

Beliau berkata, nilai rampasan rokok seludup dianggarkan RM24,520, manakala bunga api dan mercun bernilai RM9,580.

"Semua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 2:40 PM