Siti Rohana Idris


KEENGGANAN pemilik kedai runcit membuka pintu rumah ketika serbuan pihak berkuasa semalam, membongkarkan kegiatannya menjual rokok seludup dan menyembunyikan mercun.

Serbuan di sebuah rumah di Wakaf Bharu, Tumpat, pada 1.30 tengah hari itu menemui 346 karton rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM22,000.

Turut ditemui beberapa kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

Ketua Polis daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, ketika serbuan, anggotanya mengetuk pintu rumah dan memperkenalkan diri namun pemilik rumah enggan membuka.

"Akibatnya, anggota terpaksa memecahkan pintu rumah dan hasil pemeriksaan menemui beberapa kotak rokok di dalam sebuah bilik.

"Pemeriksaan di dalam sebuah lagi bilik menemui beberapa kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok dan mercun disyaki diseludup di sebuah rumah jalan Balai Polis Wakaf Bharu bernilai RM25,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud (dua kiri) bersama pegawainya menunjukkan rampasan rokok dan mercun disyaki diseludup di sebuah rumah jalan Balai Polis Wakaf Bharu bernilai RM25,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Ab Rashid berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 39 tahun itu tidak menjual rokok seludup di kedai runcitnya, sebaliknya terus kepada pemborong.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang melakukan siasatan lanjut sama ada mercun rampasan yang dianggarkan bernilai RM3,000 itu untuk jualan sempena sambutan hari kemerdekaan atau menghabiskan stok lama.

Menurutnya, suspek aktif mengedar sejak beberapa bukan lalu dan bekalan rokok seludup itu dipercayai diperoleh daripada pembekal dari Kota Bharu untuk pasaran tempatan.

"Ujian saringan air kencing adalah negatif dan hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod lampau iaitu kesalahan mencuri dan dadah.

"Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 29 Ogos dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 2:05 PM