Kemesraan Nasrul, 40, dan Sarip Dol dapat dilihat menerusi video dimuat naik di TikTok hingga mendapat perhatian netizen.
Kemesraan Nasrul, 40, dan Sarip Dol dapat dilihat menerusi video dimuat naik di TikTok hingga mendapat perhatian netizen.
Redzuan Muharam


Shah Alam: Meskipun bukan haiwan peliharaan sendiri, lelaki dikenali Nasrul melayan kucing jantan milik jirannya digelar Sarip Dol dengan penuh kasih sayang.

Kemesraan Nasrul, 40, dan Sarip Dol dapat dilihat menerusi video dimuat naik di TikTok hingga mendapat perhatian netizen.

Berkongsi kisahnya, Nasrul yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat (IT) berkata, dia tidak tahu Sarip Dol adalah kepunyaan jirannya dan mula terserempak dengannya selepas kucing berkenaan membuat 'onar' di rumahnya.

"Kira-kira sebulan yang lalu, saya pulang dari kerja dan nampak Sarip Dol kencing di motosikal saya.

"Apabila saya jerkah, Sarip Dol terus berlari dan keesokannya, saya nampak kucing itu lagi di atas tembok rumah.

"Saya sempat ambil rakam dan video Sarip Dol yang mukanya nampak tak bersalah macam 'samseng' kemudian muat naik di TikTok.

"Tak sangka, ramai yang minat nak ambil tahu perihal Sarip Dol dan itu sebabnya saya terus kongsi perkembangannya dengan pengikut di TikTok," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Nasrul, bukan mudah untuknya menjinakkan Sarip Dol kerana kucing itu sukar didekati.

Bagaimanapun, dia cuba 'mengumpan' Sarip Dol dengan makanan dan percubaannya itu berhasil menjinakkan kucing berkenaan.

"Selepas kejadian kencing di motosikal saya, Sarip Dol sekadar lalu saja depan rumah dan lari apabila dipanggil.

"Pada satu hari, saya cuba tarik perhatiannya menggunakan makanan kucing jenama premium.

"Taktik itu menjadi apabila Sarip Dol datang kepada saya dan sejak itu, kucing itu akan ke rumah saya selepas saya pulang kerja seolah-olah tahu waktu makannya.

"Hujung minggu pun Sarip Dol akan datang tetapi bukan duduk seharian di rumah saya hanya beberapa jam saja sebelum beredar," katanya.

Nasrul berkata, dia tidak pernah berasa terganggu dengan Sarip Dol.

Sebaliknya, kehadiran Sarip Dol mengubat kerinduannya terhadap kucing jantan peliharaannya diberi nama Abang Mok yang mati tahun lalu akibat sakit tua.

"Saya memang pencinta kucing jadi seronok apabila ada Sarip Dol kerana selepas kematian Abang Mok, saya tak bela kucing lain.

"Alhamdulillah, isteri faham malah tak halang saya melayan Sarip Dol cuma saya baru tahu kucing itu berpunya selepas tuannya cari di sekitar rumah tetapi dengan nama panggilan lain iaitu Tommy.

"Mujur, tuan Sarip Dol tak kisah muat naik video kucing peliharaannya di TikTok.

"Andai satu hari tuannya terbuka hati serahkan Sarip Dol kepada saya, saya terima saja dan akan jaga dengan sebaik mungkin dan bawanya ke klinik untuk pemeriksaan veterinar supaya sentiasa sihat," katanya.

Berhubung perkongsian video di TikTok, Nasrul berkata, niatnya adalah memupuk perasaan sayang masyarakat terhadap haiwan.

"Kita lihat banyak kes penderaan terhadap haiwan termasuk kucing. Jadi, saya harap mereka yang menonton akan terbuka hati dan ikut sama menyantuni kucing tanpa mengira bagaimana keadaannya.

"Seandainya tak suka sekalipun, jangan sampai aniaya atau menderanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 7:21 PM