SHAHRIZAN (kiri) dan Rozita (kanan) bersama kucing peliharaannya di rumah mereka di Taman Kasa Heights. FOTO Khairunisah Lokman
SHAHRIZAN (kiri) dan Rozita (kanan) bersama kucing peliharaannya di rumah mereka di Taman Kasa Heights. FOTO Khairunisah Lokman
Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Memelihara kucing perlu keikhlasan dan layanan sama rata, tidak boleh hanya menyayangi kucing yang berbulu lebat saja.

Begitulah menurut pasangan Shahrizan Ithnin, 38, dan isterinya, Rozita Haron, 43, yang memelihara pelbagai baka kucing bermutu selain kucing jalanan.

Pasangan itu kini mempunyai 87 kucing pelbagai jenis baka bermutu termasuk Maine Coon, British Shorthair dan Siam.

Mereka turut menjaga kira-kira 43 kucing jalanan yang ditempatkan di rumah dan kedai haiwan peliharaan milik mereka di Alor Gajah.

Menurut Shahrizan, ramai masyarakat sayangkan kucing tetapi yang benar-benar mencintai haiwan itu tidak ramai.

Katanya, dia beranggapan golongan yang menyayangi kucing hanya ketika sihat dan cantik, adalah tidak sesuai memelihara haiwan itu kerana dikhuatiri berdepan risiko tidak terjaga apabila sakit.

Shahrizan berkata, dia sudah melihat banyak kes, terutama golongan yang mengambil kucing angkat selepas melihat kucing ditawarkan dalam keadaan sihat dan gebu.

“Ada dalam kalangan masyarakat mengambil kucing angkat ini, membiar atau membuang kucing peliharaan mereka apabila sakit.

“Keadaan sebegini tidak patut berlaku. Sebagai tuan kucing, kita hendaklah menjaganya walaupun ketika kucing sakit,” katanya.

Menurutnya, peminat kucing perlu ubah sikap dengan mencintai haiwan itu sebaiknya, kerana meskipun hanya kucing jalanan atau baka kampung tempatan, ia juga boleh menjadi cantik, gebu dan manja sekiranya dijaga dengan baik.

Hal itu disokong Rozita kerana kucing jalanan dibelanya sudah beberapa kali memasuki pertandingan malah mendapat pengiktirafan.

“Pengiktirafan tertinggi adalah tempat keempat yang dimenangi Bongek aka Jonget pada pertandingan kucing antarabangsa peringkat Asia.

“Bongek menang tempat keempat terbaik Malaysia kategori kucing rumah HDW (House Cat Division Winner) anjuran The Cat Franciers’ Association (CFA),” kata Rozita.

GELAGAT kucing yang dipelihara Rozita ketika diberi makan. FOTO Khairunisah Lokman
GELAGAT kucing yang dipelihara Rozita ketika diberi makan. FOTO Khairunisah Lokman

Katanya, kemenangan Bongek itu membuktikan kucing jalanan berusia kira-kira setahun setengah diambilnya di Tampin, Negeri Sembilan boleh membawa tuah sebagaimana kucing baka baik yang lain.

Selain Bongek, Mr Ungkallicious baru memenangi dua anugerah kucing terbaik kategori kucing dewasa berbulu pendek dan kategori keseluruhan kucing berbulu pendek, pada pertandingan di Taman Melaka Raya, 1 September lalu.

Mr Ungkallicious yang kini berusia lebih enam tahun, diselamatkan pasangan terbabit di Pasar Alor Gajah, kira-kira enam tahun lalu, dalam keadaan mata kanannya berdarah.

“Mr Ungkallicious kami bawa ke klinik veterinar dalam keadaan parah, ketika itu darah tak henti-henti keluar dari mata.

“Doktor beritahu peluang untuk kucing itu hidup 50-50 meskipun menjalani pembedahan membuang mata kanan yang rosak, tapi siapa sangka sehingga hari ini, dia hidup dan sihat malah memenangi pertandingan,” katanya.

Sementara itu, duta CFA, Mohd Hussain Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Sein Abdul berkata, memelihara kucing memerlukan komitmen dan tidak boleh main-main.

“Ramai yang saya lihat, minat memelihara kucing ini kadangkala hanya ikut-ikutan, apabila tuannya mahu berkahwin, mula nak beri kepada orang lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 10:24 AM