GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Ahli kongsi gelap Geng 36 yang sebelum ini direman selama empat hari disambung tiga hari lagi sehingga Selasa ini.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, semua 10 suspek sebelum itu direman bermula Rabu dan tamat hari ini.

Katanya, reman itu disambung bagi membolehkan polis meneruskan dan melengkapkan siasatan.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 144 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya serta Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan penahanan 10 ahli Geng 36 yang dipercayai mahu memulakan pergaduhan.

Mereka ditahan ketika berkumpul di hadapan sebuah rumah di Bahau.

Bertindak atas maklumat, anggota polis dari D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol berjaya menahan 10 ahli kongsi gelap berkenaan.

Pemeriksaan lanjut menjumpai parang, senjata tajam yang diubahsuai dan lain-lain senjata yang disembunyikan berhampiran tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 2:50 PM