Oleh Hayati Ibrahim


Putrajaya: Dua puluh tiga pertubuhan kongsi gelap di Malaysia diisytiharkan sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 dengan No Pewartaan P.U.(A) 34/2015.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pertubuhan itu menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam di negara ini seperti sindiket pengedaran dadah, pelacuran, perjudian, mencuri kereta mewah dan memeras ugut.

"Pertubuhan ini juga menimbulkan pergaduhan di antara pertubuhan kongsi gelap, melakukan huru-hara dan juga terdapat kes penyeludupan serta turut memberi bantuan logistik dan maklumat persembunyian pihak berkuasa kepada kumpulan penculik dari Bahagian Selatan Filipina seperti kumpulan 'Knight Of Right Keepers' @€˜Kappa Rho Kapa (KRK).

"Sehubungan itu, tiada sesiapapun boleh menggunakan semula nama, simbol, lambang atau logo pertubuhan kongsi gelap terbabit sebagai pertubuhan berdasarkan kepada peruntukan Seksyen 7 (3)(b) Akta Pertubuhan 1966," katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Zahid berkata, pengisytiharan itu juga tidak membenarkan seseorang untuk memegang

jawatan, menjalankan kerja sebagai anggota, membenarkan mesyuarat dalam bangunan, menyiar dan bertindak bagi pihak atau wakil pertubuhan kongsi gelap itu.

Katanya, mereka yang bertanggungjawab menjalankan sebarang aktiviti pertubuhan kongsi gelap berkenaan akan disiasat dan didakwa di mahkamah kerana melakukan kesalahan mengikut Akta 335.

Senarai pertubuhan kongsi gelap:

1. Geng 3821

2. Geng Ngo Sek Kee

3. Geng Gee Hor Sia

4. Geng Chong Woh

5. Geng Gee Long San

6. Geng Gee It Leng

7. Geng Gee Hon San

8. Geng Guat Sam Sia

9. Geng It Tiam Ang

10. Geng Lian Heng Siah

11. Geng Ang Mor Low

12. Geng Sio Or Leng

13. Geng Loong Foo Thong

14. Geng 969 (Kow Lak Kow)

15. Geng 32 Sar Jee

16. Geng Chaun San

17. Geng Fong Hong San

18. Geng Jin Jee Tong

19. Geng Gee Lam Kok

20. Geng Hong Fah

21. Knight Right Keepers @ Kappa Rho Kappa

22. Malin Kundang (Sandakan)

23. Special Force (Lahad Datu)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Februari 2015 @ 6:43 PM