ABDUL Hamid Bahari
ABDUL Hamid Bahari
HM Digital

Kuala Lumpur: Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) merayu kepada kerajaan supaya mengekalkan elaun sara hidup nelayan (ESHN) kerana majoriti nelayan di Malaysia masih hidup di bawah paras kemiskinan.

Desakan NEKMAT itu mewakili 48,141 nelayan di seluruh negara menjelang Bajet 2019, Jumaat ini.

Pengerusi NEKMAT Abdul Hamid Bahari berkata, ESHN masih diperlukan nelayan kerana mereka terbabit dengan pekerjaan berisiko tinggi dengan hasil yang tidak menentu.

Beliau berkata, andai kata pendapatan nelayan masih rendah, dikhuatiri nelayan akan berubah kepada pekerjaan lain, sekali gus boleh menjejaskan industri perikanan negara.

“Dalam memberi jaminan bekalan makanan (food security), nelayan adalah pembekal utama sumber protein negara. NEKMAT mempunyai tanggungjawab terhadap ahlinya (nelayan) di seluruh negara.

“Dengan pelan strategi baru yang dicadangkan, NEKMAT yang mewakili suara nelayan di seluruh Malaysia berharap ESHN dapat diteruskan,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bersama Persatuan Nelayan Negeri (PPN) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di seluruh negara sedang giat menjalankan program pemutihan bagi mengenal pasti hanya nelayan yang layak saja menerima ESHN.

“Pemutihan ini perlu supaya kumpulan sasar saja yang layak menerima ESHN. Selain itu, ia juga penting bagi membolehkan pengumpulan data terkini nelayan sekali gus memudahkan pemberian insentif baru kepada mereka yang benar-benar layak.

“Kami menganjurkan Bengkel Percambahan Minda (BPM), baru-baru ini bagi mendapatkan maklum balas pemimpin nelayan berhubung hala tuju baru ESHN, bantuan subsidi diesel dan petrol, insuran, insentif hasil tangkapan ikan (IHTI) serta ikan segar sejuk beku sebagai stok penimbal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Oktober 2018 @ 11:32 AM