LOKASI kejadian di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, di Kluang Johor. FOTO tular.
LOKASI kejadian di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, di Kluang Johor. FOTO tular.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Penunggang motosikal berusia 13 tahun maut manakala pemboncengnya cedera selepas terlanggar tiang lampu di Jalan Persiaran Taman Seri Impian, di sini lewat malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa, Muhammad Farish Hafiy, yang tidak memiliki lesen memandu parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, manakala adiknya ,Muhammad Amin Asyraf, 12, patah kaki kanan dan lebam di dahi.

"Hasil siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa dipercayai dari kawasan perumahan Taman Seri Impian menghala ke lampu isyarat di Jalan Kota Tinggi - Kluang.

"Tiba di tempat kejadian, Honda Wave ditunggang mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan yang berada di tengah pembahagi jalan.

"Akibat daripada kemalangan itu, penunggang motosikal cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala pembonceng motosikal parah dan terus dikejarkan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang," katanya.

"Kedua-dua beradik itu tidak memakai topi keledar keselamatan ketika kejadian dan hasil siasatan mendapati motosikal didaftarkan atas nama ibu mangsa.

"Cukai jalan dan insuran motosikal juga telah tamat tempoh dan tindakan saman akan dilakukan terhadap pemilik motosikal," katanya.

Beliau berkata, kes juga disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 9:13 AM