PROGRAM Jom Masuk U membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM/Setaraf mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil universiti.
PROGRAM Jom Masuk U membolehkan pelajar lepasan SPM dan STPM/Setaraf mendapatkan maklumat secara terus daripada wakil universiti.
Oleh Lizam Ridzuan


Bagi meluaskan akses dan ekuiti pendidikan tinggi, Program Jom Masuk U akan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Usaha berkenaan adalah selari dengan aspirasinya menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia - Pendidikan Tinggi (2015-2025) di bawah lonjakan 10: Transformasi Penyampaian Pendidikan Tinggi.

Sesuai untuk pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM)/Setaraf, Program Jom Masuk U membolehkan pelajar mendapat maklumat secara terus daripada wakil universiti.

Ia juga dapat memberikan idea dan hala tuju pengajian serta membuat keputusan tepat akan pengajian yang bersesuaian dengan keputusan dan minat pelajar.

Pelajar juga boleh mendapatkan maklumat pembiayaan pendidikan serta syarat dan kelayakan diperlukan.

Lebih menarik, pelajar juga boleh membuat perbandingan kelebihan setiap institusi pendidikan tinggi dalam satu acara sebegini.

Program berkenaan disertai oleh 20 Universiti Awam (UA), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) terpilih di bawah KPT seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Untuk edisi tahun ini, Jom Masuk U akan dilaksanakan di enam zon di seluruh Malaysia yang akan membuka tirai di Zon Selatan bermula 20 Mei hingga 21 Mei hadapan.

Ia akan diadakan di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru dengan kerjasama rakan strategik Kementerian iaitu Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Seterusnya Jom Masuk U Zon Sarawak turut diadakan serentak pada 20 dan 21 Mei di Time Square Megamall, Bintulu.

Jom Masuk U Zon Sabah pula akan diadakan pada 27 hingga 28 Mei 2023, di Pusat Ke-2 Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Selain itu pada masa sama, Jom Masuk U turut diadakan di Zon Kedah dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang bakal diadakan di Dewan Perdana UiTM Kampus Sungai Petani, Merbuk Kedah.

Seterusnya pada 3 hingga 4 Jun depan Jom Masuk U akan ke Zon Timur dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan akan diadakan di Dewan Tunku Mizan UMT.

Kemuncak acara ini ialah di Zon Tengah diadakan pada 4 hingga 5 Jun 2023 dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) yang diadakan di Dewan Tunku Canselor UM.

Majlis Penutupan Program Jom Masuk U 2023 di Zon Tengah pada 4 Jun akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Untuk ke Program Jom Masuk U, masuk adalah percuma yang dibuka dari jam 9 pagi hinggi 5 petang.

Pelajar juga digalakkan membawa keputusan peperiksaan terkini.

Untuk butiran lebih lanjut boleh layari: upu.mohe.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mei 2023 @ 7:00 AM