MOHAMED Khaled (barisan atas, tengah) bersama mahasiswa UMT selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
MOHAMED Khaled (barisan atas, tengah) bersama mahasiswa UMT selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kota Tinggi : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang merangka untuk menjadikan pengajian di Instititusi Pengajian Tinggi (IPT) lebih menarik bagi menarik minat pelajar atau anak muda untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antaranya ialah sistem pendidikan secara anjal, yang membolehkan pelajar belajar secara fizikal beberapa tahun dan selebihnya dilaksana secara dalam talian.

Katanya selain itu, beberapa kursus sedang dikenal pasti untuk dipendekkan dari empat tahun kepada tiga tahun.

"Semua sedang diusahakan KPT antara universiti dan industri supaya pelajar (yang telah tamat pengajian) memenuhi keperluan industri dan boleh diambil bekerja.

"Kita akan juga melakukan beberapa perubahan untuk menjadikan belajar di universiti sangat menarik. Kita kenali beberapa program asasi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang membolehkan pelajar masuk dengan keputusan asas selain belajar dilapangan atau luar kelas.

"Jika masuk IPT menerusi politeknik memerlukan tiga tahun, bila sambung terus akan masuk tahun dua. Itu semua sedang dirangka dan saya akan umumkan semua perkara ini pada penutup program 'Jom Masuk U' yang dijangka 4 Jun ini," katanya pada sidang media selepas Program Semarak Komuniti Kota Tinggi bersama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Sekolah Kebangsaan Sedili Besar, di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan tarikan ekonomi gig kepada golongan muda sehingga dikhuatiri mengurangkan minat mereka terhadap pelajaran.

Jelas Mohamed Khaled, mengikut data permohonan kemasukkan ke IPT sama ada Awam atau Swasta adalah meningkat sejak tiga tahun lalu.

Malah katanya pengisian kapasiti universiti awam secara purata ialah 85 peratus.

"Memang dari segi permohonan meningkat tetapi kalau ada pelajar yang tidak minat masuk universiti, saya harap masyarakat main peranan untuk tingkatkan minat mereka.

"Saya sedar bahawa antara lain puncanya mungkin pelajar ini tidak tertarik melanjutkan pelajaran kerana mereka lihat soal pekerjaan, pengangguran dan melihat gaji tidak setimpal dengan kelulusan, semua ini sedang di usahakan.

"Tetapi pada akhirnya kalau tidak ada ilmu tinggi tidak akan bawa ke mana-mana . Mungkin kita hanya dapat nikmat sementara, tapi dari segi masa panjang kita perlukan ilmu. Jadi tidak ada alternatif kepada itu.

"Saranan saya, mungkin orang muda perlukan bantuan dan bimbingan. Peranan ibu bapa, masyarakat, rakan sebaya dan sebagainya. Sebab itu universiti perlu bersama dengan komuniti seperti program hari ini, memperlihatkan potensi ilmu itu kepada masyarakat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mei 2023 @ 2:22 PM