Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah kelahiran hidup di Malaysia meningkat bagi suku pertama 2023 dengan 111,604 kelahiran atau 8.9 peratus direkodkan, berbanding suku pertama 2022 dengan 102,466 kelahiran, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,654 kelahiran berbanding 53,950 kelahiran bayi perempuan.

Menurutnya, Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran atau 18.9 peratus manakala Labuan merekodkan jumlah kelahiran hidup terendah dengan 361 kelahiran atau 0.3 peratus.

"Kumpulan umur ibu yang tertinggi direkodkan pada umur 30-39 tahun iaitu 57,491 (51.5 peratus), diikuti oleh umur 20-29 tahun (41.6 peratus), 40 tahun dan lebih (5.3 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Uzir berkata, 47,767 kematian telah direkodkan pada suku pertama 2023, penurunan sebanyak 11.7 peratus berbanding suku pertama 2022 (54,123 kematian) dan Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian (15.8 peratus) manakala Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 66 kematian (0.1 peratus).

Katanya, bilangan kematian berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 33,687 kematian (70.5 peratus), diikuti umur 41-59 (19.9 peratus), umur 15-40 tahun (7.1 peratus) dan umur 0-14 tahun (2.5 peratus).

Beliau menambah, kematian disebabkan Covid-19 menurun 97.3 peratus (3,457 kematian) pada suku pertama 2023 daripada 3,553 kematian pada suku pertama 2022 kepada 96 kematian.

"Kematian disebabkan Covid-19 menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku pertama 2023. Selangor merekodkan kematian Covid-19 tertinggi (31 kematian) manakala tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Labuan," katanya.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata, berdasarkan anggaran penduduk semasa, penduduk Malaysia pada suku pertama tahun ini dianggarkan 33.2 juta, meningkat 1.6 peratus berbanding suku pertama 2022 iaitu 32.6 juta.

Jumlah penduduk merangkumi 30.4 juta atau 91.7 peratus warganegara manakala 2.8 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara, katanya.

"Kenaikan ini disumbangkan oleh pertambahan semula jadi yang positif bagi warganegara dan juga pertambahan penduduk bukan warganegara," tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 6:50 PM