GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Redzuan Muharam

Putrajaya: Jumlah kelahiran hidup sehingga suku pertama tahun ini merekodkan peningkatan sebanyak 8.9 peratus iaitu 111,604 kelahiran berbanding 102,466 dalam tempoh sama pada 2022.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, statistik menunjukkan trend penurunan berbanding suku tahun sebelumnya dengan 113,865 kelahiran.

Menurut Mohd Uzir, rekod kelahiran bayi lelaki lebih tinggi dengan 57,654 berbanding 53,950 bagi bayi perempuan.

"Selangor kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 21,148 kelahiran atau 18.9 peratus.

"Jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan oleh Wilayah Persekutuan Labuan dengan 361 kelahiran atau 0.3 peratus.

"Kumpulan umur ibu tertinggi direkodkan pada usia 30 hingga 39 tahun iaitu 57,491 (51.5 peratus) diikuti 20-29 tahun (41.6 peratus); 40 tahun dan lebih (5.3 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.6 peratus)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Uzir berkata, sebanyak 47,767 kematian direkodkan pada suku tahun pertama tahun ini.

Menurut Mohd Uzir, angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 11.7 peratus berbanding suku tahun pertama tahun lalu dengan 54,123 kematian.

Pada tempoh yang sama, Selangor mencatatkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,548 kematian atau 15.8 peratus manakala Putrajaya terendah dengan 66 kematian atau 0.1 peratus.

"Bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,357 manakala perempuan sebanyak 20,410.

"Bilangan kematian individu berusia 60 tahun dan ke atas adalah yang tertinggi iaitu 33,687 atau 70.5 peratus diikuti oleh umur 41 hingga 59 (19.9 peratus); 15 hingga 40 tahun (7.1 peratus) dan 2.5 peratus untuk umur 0 hingga 14 tahun.

Menurutnya, kematian disebabkan Covid-19 menurun 97.3 peratus atau 3,457 pada suku tahun pertama ini iaitu daripada 3,553 pada suku 2022 kepada 96 kematian.

"Kematian disebabkan Covid-19 menyumbang 0.2 peratus daripada keseluruhan jumlah kematian pada suku tahun pertama 2023.

"Selangor merekodkan kematian Covid-19 tertinggi dengan 31 kematian, dan tiada kematian direkodkan di Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 3:19 PM