GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Aqil Sharullizam

Kuala Lumpur: Penduduk Malaysia meningkat 2.1 peratus kepada anggaran 33.4 juta bagi suku kedua 2023 berbanding 32.7 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Pada masa sama, jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan peningkatan 13.0 peratus kepada 105,961 kelahiran pada suku kedua tahun ini, berbanding 93,799 kelahiran hidup bagi tempoh sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan rekod, bayi lelaki merekodkan 54,747 kelahiran berbanding bayi perempuan iaitu 51,214.

Selangor pula kekal mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 20,477 kelahiran (19.3 peratus) manakala kelahiran hidup terendah adalah Wilayah Persekutuan Labuan dengan 357 kelahiran (0.3 peratus).

"Umur ibu 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi pada suku tahun kedua 2023 iaitu 53,679 (50.7 peratus).

"Ia diikuti oleh ibu berumur 20 hingga 29 tahun (42.3 peratus), 40 tahun dan lebih iaitu 5.2 peratus dan kurang daripada 20 tahun iaitu 1.8 peratus," katanya pada kenyataan, hari ini.

Sementara itu, menurut beliau, etnik Melayu menyumbang 68.4 peratus kelahiran hidup iaitu 72,500 kelahiran pada suku kedua 2023 berbanding 69.7 peratus pada 2022.

Jelas beliau, kelahiran hidup bagi Bumiputera lain dan etnik Cina masing-masing meningkat kepada 12.9 peratus dan 9.1 peratus berbanding 12.6 peratus dan 8.9 peratus pada suku kedua 2022.

Etnik India merekodkan penurunan kepada 3.8 peratus pada suku kedua 2023 berbanding 3.9 peratus pada 2022.

Menurut Uzir Mahidin, 50,239 kematian direkodkan pada suku kedua 2023, peningkatan 0.7 peratus berbanding 49,893 kematian bagi tempoh sama pada 2022.

"Etnik Melayu menyumbang kepada 52.9 peratus iaitu 26,610 kematian berbanding 52.7 peratus pada suku kedua 2023.

"Kematian bagi etnik Cina meningkat kepada 26.2 peratus pada suku tahun kedua 2023 berbanding 25.8 peratus pada 2022.

"Bagi Bumiputera lain, jumlah kematian menurun kepada 10.2 peratus berbanding 10.8 peratus pada 2022 manakala etnik India kekal pada 8.1 peratus.

"Kematian disebabkan Covid-19 menurun 74.4 peratus pada suku kedua 2023 iaitu 169 kematian berbanding 660 pada suku kedua 2022," katanya.

Pada masa sama, menurut beliau, penduduk lelaki meningkat daripada 17.0 juta kepada 17.5 juta berbanding suku kedua 2022 manakala perempuan meningkat daripada 15.7 juta kepada 15.9 juta bagi tempoh sama.

"Nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya.

Selain itu, penduduk berumur 0 hingga 14 tahun (umur muda) menurun kepada 7.5 juta berbanding 7.6 juta pada suku kedua 2022.

Komposisi penduduk berumur 15 hingga 64 tahun (umur bekerja) meningkat daripada 22.8 juta kepada 23.4 juta berbanding suku kedua 2022.

Manakala yang berusia 65 tahun dan lebih (umur tua), meningkat daripada 2.4 juta kepada 2.5 juta bagi suku kedua 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Ogos 2023 @ 3:24 PM