FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Oleh Samadi Ahmad


Putrajaya: Penduduk Malaysia bagi suku kedua tahun ini meningkat kepada 32.66 juta orang iaitu peningkatan 0.2 peratus berbanding suku kedua tahun sebelumnya (32.58 juta).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah penduduk itu merangkumi 29.96 juta orang (91.8 peratus) warganegara dan 2.69 juta orang (8.2 peratus) bukan warganegara.

Beliau berkata, komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 8.9 peratus pada suku tahun kedua 2020 kepada 8.2 peratus pada suku tahun kedua tahun ini.

"Penurunan ini adalah selari dengan penutupan pintu sempadan negara dan pergerakan pulang warga asing ke negara masing-masing berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia," katanya tadi.

Menurutnya, data penduduk itu adalah berasaskan kepada Banci Penduduk dan Perumahan 2010, pertambahan semula jadi kelahiran dan kematian dan migrasi bersih sebelum disemak semula selepas hasil dapatan Banci Malaysia 2020 diperoleh.

Mohd. Uzir berkata, pada suku tahun kedua ini, penduduk lelaki (16.77 juta) melebihi penduduk perempuan (15.88 juta) manakala, nisbah jantina penduduk adalah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Katanya, penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 2.29 juta kepada 2.4 juta bagi tempoh sama.

"Trend ini selari dengan negara-negara maju yang menuju ke arah penuaan penduduk," katanya.

Mohd. Uzir berkata, tiga negeri yang mencatatkan komposisi penduduk tertinggi pada suku tahun kedua ini ialah Selangor (20.1 peratus) diikuti oleh Sabah (11.7 peratus) dan Johor (11.6 peratus). Manakala, Labuan dan Putrajaya mencatatkan komposisi penduduk terendah iaitu 0.3 dan 0.4 peratus," katanya.

Mohd Uzir berkata, sebanyak 3,898 kematian pada tempoh itu disebabkan oleh covid-19, meningkat daripada 78 kematian pada suku kedua 2020.

Data juga menunjukkan kematian tertinggi disebabkan covid-19 direkodkan oleh kumpulan umur 65 hingga 69 tahun, diikuti kelompok 70 hingga 74 tahun, dengan Selangor mencatatkan kematian tertinggi sebanyak 1,236 manakala rekod terendah dicatatkan Putrajaya dengan empat kematian sahaja disebabkan wabak itu/

Mohd Uzir berkata, pandemik covid-19 tidak memberi kesan signifikan kepada jangkaan hayat semasa kelahiran di Malaysia.

"Jangkaan hayat untuk bayi yang lahir pada 2021 dijangka hidup hingga 75.6 tahun, 1.3 tahun lebih lama berbanding satu dekad yang lepas iaitu 74.3 tahun pada 2011," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 6:09 PM