GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Bilangan perkahwinan yang direkodkan pada tahun 2020 menurun kepada 9.4 peratus atau 184,589 berbanding 203,661 perkahwinan pada tahun 2019.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, berdasarkan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2021, penurunan angka perkahwinan pada 2020 disumbangkan oleh penurunan 1.8 peratus bilangan perkahwinan Muslim iaitu 145,202 berbanding 147,847 pada 2019.

"Bilangan perkahwinan bukan Muslim turut menurun daripada 55,814 pada 2019 kepada 39,387 pada 2020," katanya tadi.

Beliau berkata, purata umur bagi pengantin wanita menurun daripada 27 tahun pada 2019 kepada 26 tahun pada 2020, manakala purata umur pengantin lelaki kekal pada angka 28 tahun.

Mohd Uzir berkata pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi impak pada statistik perkahwinan di Malaysia.

Statistik itu menunjukkan bahawa semasa penguatkuasaan PKP, bilangan perkahwinan menurun secara signifikan iaitu sebanyak 88 peratus pada April 2020, yakni daripada 14,056 pada 2019 kepada 1,694 pada April 2020.

Mohd Uzir berkata, bilangan perceraian pada 2020 adalah 45,754, sekali gus menunjukkan trend penurunan berbanding 56,624 pada 2019.

"Bilangan tertinggi perceraian membabitkan kumpulan umur 30 hingga 34 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan pengantin wanita," katanya.

Sejajar dengan penurunan bilangan perceraian, kadar perceraian umum bagi lelaki menurun daripada 7.2 ke 5.8 per 1,000 populasi lelaki berkahwin berumur 18 tahun dan ke atas.

Trend yang sama dilaporkan bagi wanita, iaitu penurunan daripada 7.7 kepada 6.1 per 1,000 populasi wanita berkahwin berusia 16 tahun dan ke atas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Disember 2021 @ 7:14 PM