SAARANI Mohamad. FOTO L Manimaran
SAARANI Mohamad. FOTO L Manimaran
BERNAMA

Ipoh: Perak menyasarkan pemasangan 1,000 unit lampu jalan solar pintar secara berperingkat di kawasan pedalaman termasuk di perkampungan Orang Asli, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Bagaimanapun katanya, pemasangan lampu pintar dengan kos melebihi RM7,000 seunit itu bergantung kepada spesifikasi lampu dan akan dilaksanakan dalam tempoh 12 bulan ini.

"Ramai penduduk kampung Orang Asli mengadu mereka 'bergelap' dan menuntut supaya kerajaan negeri untuk memasang lampu jalan.

"Dahulu memang ada program pencahayaan kampung yang mana bil elektrik dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (kini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah), namun terlalu banyak kampung yang menyebabkan kerajaan tidak mampu membayarnya.

"Dengan adanya teknologi ini maka tiada masalah untuk membayar bil elektrik lagi kerana penjanaan semula tenaga elektrik adalah menggunakan solar sekali gus menjimatkan kos," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Pelestarian Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) @ Meru Raya dengan penggunaan Smart Solar Streetlighting & Rooftop Solar Panel di sini, malam tadi.

Saarani berkata, kerajaan negeri akan menjalankan kajian terperinci bagi mengenal pasti lokasi yang memerlukan pemasangan lampu jalan solar pintar dan perlu diberikan keutamaan berikutan banyak permohonan diterima dari seluruh Perak termasuk kawasan Felda.

Sementara itu, beliau berkata, Perak berupaya mencapai lebih banyak kawasan berstatus bandar raya pada masa akan datang termasuk di Manjung dan Tanjung Malim.

"Selain Manjung yang sudah menyatakan kesediaan, Tanjung Malim juga contohnya dijangka mengalami pertambahan penduduk apabila ramai pekerja industri berpindah ke kawasan itu yang menyebabkan banyak kemudahan dibina seperti sekolah, pasar dan hospital yang akan menggamit penambahan sebuah bandar raya baharu," katanya.

Saarani berkata, bagaimanapun kriteria seperti bilangan penduduk perlu dipersetujui oleh Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan bagi memperoleh pengiktirafan sebagai sebuah bandar raya.

Katanya, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menyediakan perumahan mencukupi bagi menampung pertambahan bilangan penduduk dan perlunya sebuah entiti yang mengawal pembangunan tersebut ke arah mencapai status bandar raya.

Akhbar tempatan melaporkan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Manjung (MPM) Syamsul Hazeman Md Salleh berkata, pemakluman mengenai hasrat daerah itu untuk mencapai status bandar raya sekali gus menjadi bandar raya kedua di Perak selepas Ipoh, sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri pada akhir tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 10:03 AM