Pengunjung melihat petugas menyiram gajah bagi mengurangkan haba panas ketika tinjauan cuaca panas di Zoo Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Pengunjung melihat petugas menyiram gajah bagi mengurangkan haba panas ketika tinjauan cuaca panas di Zoo Negara, Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Nisaa Iryanie Azhar


Kuala Lumpur: Selain manusia, hidupan liar juga tidak terkecuali merasai kesan akibat cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Tinjauan Harian Metro di Zoo Negara, di sini, semalam mendapati pihak pengurusan menggunakan bekalan air yang banyak untuk membantu haiwan menurunkan suhu.

Pengarah Zoologi, Hospital & Perkhidmatan Veterinar dan Pusat Konservasi Panda Gergasi Zoo Negara, Dr Mat Naim Ramli berkata, pihaknya sentiasa memastikan haiwan dalam jagaan mereka berada dalam keadaan sihat dan tidak terhidrasi.

"Alhamdulillah, sehingga sekarang tiada kematian haiwan akibat cuaca panas ini dicatatkan. Penjaga akan melakukan pemantauan lebih kerap untuk mengelakkan haiwan jagaan mereka jatuh sakit.

"Kebanyakan haiwan yang ada di Zoo Negara ini datang dari negara Asia, jadi mereka masih boleh menyesuaikan diri dengan cuaca di Malaysia," katanya.

Dr Mat Naim berkata, pihak zoo menyediakan kawasan teduhan yang dibina dari batu serta bekalan air minum yang banyak bagi haiwan yang berada di kawasan yang terdedah dengan panas seperti rusa.

"Jika cuaca panas berterusan, haiwan seperti gajah akan dibawa masuk ke dalam kandang malam. Selain itu, penjaga juga memandikan gajah dengan lebih kerap.

"Bekalan air kerap habis menyebabkan penjaga haiwan ini akan bersedia untuk menambah semula kuantiti air terbabit. Sebelum pulang juga, mereka akan pastikan bekalan air mencukupi.

"Haiwan juga akan malas (kerap tidur) jika cuaca terlalu panas disebabkan itu rata-rata haiwan seperti harimau ini akan berehat sahaja," katanya.

Menurutnya, disebabkan penggunaan air yang banyak, Zoo Negara membelanjakan ratusan ribu ringgit untuk menjelaskan bayaran bil air.

Katanya, kenaikan kos berkenaan masih terkawal disebabkan pihaknya memperoleh dana menerusi kutipan tiket tambahan pula jumlah pelawat juga meningkat.

"Sumber utama (kewangan) zoo adalah (jumlah kehadiran) pengunjung, (maka) disebabkan itu pihak kami lebih memfokuskan keselesaan supaya jumlah pelawat bertambah.

"Pihak Zoo Negara juga sedang dalam proses menaik taraf fasiliti dan perkhidmatan seperti membaiki kandang haiwan, kandang malam dan khidmat sewaan payung serta kereta sorong bayi.

"Walaupun perubahan yang dibuat tidak drastik, tetapi sentiasa berubah untuk keselesaan haiwan dan juga pengunjung," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Dr Mat Naim berkata, pihaknya masih berdepan kekangan berikutan kebanyakan penaja haiwan khususnya dalam bentuk kewangan menarik diri disebabkan faktor ekonomi.

"Trend penaja sudah bertukar, mereka lebih selesa memberikan tajaan seperti laluan pejalan kaki berbumbung atau makanan haiwan. Ada juga sesetengah yang lebih selesa menyediakan perkhidmatan mereka kepada zoo," katanya.

Katanya, berikutan itu, pihak Zoo Negara mengalu-alukan sektor korporat mahupun orang ramai untuk menyalurkan sumbangan kewangan untuk membantu dalam menguruskan haiwan.

"Zoo Negara adalah tempat yang menarik untuk meluangkan masa bersama keluarga, jadi saya harap lebih ramai pengunjung yang datang untuk sama-sama melihat haiwan yang ada di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 5:15 PM