Tangkap layar daripada video yang merakam seorang lelaki mandi di kandang badak sumbu di Zoo Auckland. - FOTO Agensi
Tangkap layar daripada video yang merakam seorang lelaki mandi di kandang badak sumbu di Zoo Auckland. - FOTO Agensi
AFP

Wellington: Seorang lelaki ditahan kerana didapati memecah masuk ke dalam kandang dan mandi di parit berhampiran kandang badak sumbu dan rusa di sebuah zoo di New Zealand hari ini.

Berdasarkan rakaman yang tular di media sosial menunjukkan lelaki berkenaan mandi dengan mencuci muka dan membilas rambutnya di Zoo Auckland.

Menurut jurucakap Zoo Auckland, kandang terbabit menempatkan badak sumbu dan rusa.

"Haiwan berkenaan dikatakan terkejut dengan penceroboh berkenaan," katanya Lelaki berkenaan dikatakan berada di dalam air beberapa minit sebelum patuh pada arahan kakitangan zoo yang meminta beliau untuk keluar dari parit dan kembali ke laluan pelawat.

Lelaki berkenaan juga dibawa keluar dari premis dan diserahkan kepada pihak polis.

Pengarah Zoo Auckland, Kevin Buley berkata, beliau lega kerana tiada kecederaan pada haiwan atau pengunjung zoo itu susulan kejadian berkenaan.

"Kami berharap lelaki terbabit mendapat bantuan dan sokongan yang amat diperlukannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2023 @ 5:12 PM