PEMERGIAN Pak Mat Takbir dirasai bukan hanya keluarga, bahkan kariah Masjid Saidina Ali dan Masjid As Salam di kawasan Bukit Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca.
PEMERGIAN Pak Mat Takbir dirasai bukan hanya keluarga, bahkan kariah Masjid Saidina Ali dan Masjid As Salam di kawasan Bukit Sentosa. FOTO Ihsan Pembaca.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: "Ayah sempat melaungkan takbir terakhir di Masjid As Salam, masjid itu kariah lamanya.

"Kemudian ayah solat Asar di Masjid Saidina Ali (Bukit Sentosa) yang merupakan kariah baru sebelum meninggal dunia hari sama," kata Muhammad Johan Ahmad Fuzi, 40.

Muhammad Johan adalah anak kepada Ahmad Fuzi Hamid, 71, yang maut selepas motosikal ditunggang dirempuh lori kurier di Jalan Persiaran Seroja, Bukit Sentosa di sini, semalam.

Nahas 5.10 petang itu berlaku ketika Allahyarham baru selesai menunaikan solat Asar di Masjid Saidina Ali, Bukit Sentosa dan mahu pulang ke rumahnya di Taman Kesumba, Bukit Beruntung.

Menceritakan semula detik terakhir bapanya yang dikenali Pak Mat Takbir, Muhammad Johan berkata, jemaah Masjid As Salam sudah lama tidak mendengar laungan takbir daripada Allahyarham setelah berpindah ke kediaman baru.

"Semalam arwah melaung takbir tiga kali dan disahut jemaah masjid selepas selesai solat Jumaat.

"Kejadian yang menimpa ayah amat mengejutkan kami. Namun segala permintaan Allahyarham ditunaikan sepenuhnya.

"Ayah pernah pesan kepada kami apabila meninggal dunia pastikan anak-anak uruskan jenazahnya, mandikan dan imamkan solat jenazah sehingga urusan pengebumian selesai.

"Alhamdulillah, kami berjaya tunaikan hasrat itu. Solat jenazah diimamkan adik saya Muhammad Hanafi dan saya sendiri membacakan talkin di tanah perkuburan," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Johan mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Hulu Selangor, Hasnizan Harun dan Ketua Umno Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim yang hadir menunaikan solat jenazah bapanya.

Sementara itu, Hasnizan berkata, kelebihan Allahyarham apabila sentiasa hadir dalam majlis ilmu dan selesai saja majlis akan bergema laungan takbirnya.

"Kenangan itu akan menjadi kenangan bagi semua orang yang mengenalinya bukan saja di Bukit Beruntung, Bukit Sentosa atau Hulu Selangor, tapi di semua majlis ilmu yang pernah dihadiri di seluruh negeri.

"Walaupun Allahyarham bukan dari golongan kaya, tapi sentiasa menyumbang kepada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) walaupun sedikit," katanya.

Mohd Isa pula menyifatkan Allahyarham insan yang mulia dan saksinya adalah kehadiran ratusan jemaah untuk memberi penghormatan terakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 7:41 PM