Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Asisten Komisioner Lam Thiam Huat meninggal dunia akibat penyakit kanser usus, awal pagi tadi.

Mendiang Thiam Huat, 59, meninggal dunia di Hospital Likas, di sini, pada 12.49 tengah malam.

Jenazah mendiang akan dibawa ke Wisma Fook Lu Siew, di sini, untuk penghormatan terakhir selama tiga hari sebelum upacara pengebumian dijalankan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Timbalannya Deputi Komisioner Shahurinain Jais serta seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mendiang menerusi Facebook rasmi Polis Sabah.

"Sesungguhnya, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga PDRM Kontinjen Sabah," katanya.

Mendiang berasal dari Sungai Petani, Kedah meninggalkan seorang isteri dan tiga anak.

Mendiang dilantik sebagai Ketua JSJN IPK Sabah pada 12 April 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2023 @ 1:10 PM