Lif Blok G, PPR Kempas yang kerap rosak dipercayai akibat aktiviti vandalisme. FOTO OMAR AHMAD
Lif Blok G, PPR Kempas yang kerap rosak dipercayai akibat aktiviti vandalisme. FOTO OMAR AHMAD
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Kerosakan yang kerap berlaku membabitkan dua daripada tiga lif di Blok G, Seri Bakawali Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas dekat sini, disebabkan masalah teknikal serta vandalisme.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, selepas pemeriksaan, dua lif berkenaan mengalami kerosakan sistem yang mungkin disumbang oleh kegiatan vandalisme.

Katanya, lif perlu digunakan secara berhemah dan tertib.

"Kebiasaannya, cara penggunaan lif yang salah boleh menyebabkan 'sistem error'. Contoh, menekan kesemua butang lif biarpun tidak ke aras yang hendak dituju.

"Lif yang dipasang pengendali lif ini adalah antara yang terbaik dan berkualiti, malah kesemua lif ini juga masih mempunyai jaminan pengurusan lif.

"Pengurusan lif juga sudah meletakkan nombor telefon untuk aduan sekiranya terperangkap atau lif rosak untuk tindakan awal. Mereka sentiasa bersedia untuk membantu," katanya dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni memaklumkan, lif ketiga yang sememangnya tidak berfungsi dijangka mula beroperasi pada awal bulan depan.

Katanya, ketika ini dua lif berfungsi dengan baik selepas diselenggara oleh pengurusan sebaik aduan diterima.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan kesukaran lebih 1,500 penghuni 300 unit PPR Kempas setinggi 17 tingkat itu yang kerap berdepan masalah lif rosak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 12:34 PM