FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Dua kertas siasatan membabitkan pendakwah selebriti berusia 40-an yang ditahan reman berkaitan kes amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki sudah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya (TPR).

Menurut sumber, kertas siasatan yang dirujuk kepada TPR berkenaan membabitkan laporan dibuat mangsa di Selangor dan Negeri Sembilan.

Katanya, reman membabitkan pendakwah selebriti berkenaan di Negeri Sembilan juga, sudah tamat kelmarin.

"Setakat ini, polis menerima tujuh laporan polis membabitkan empat di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan satu di Kuala Lumpur.

"Kesemua mangsa yang membuat laporan membabitkan remaja lelaki berusia antara 16 sehingga 18 tahun," katanya.

Harian Metro, sebelum ini, melaporkan berkenalan sewaktu mengikuti program sesi motivasi sebelum dipujuk dan paksa melakukan perbuatan amang seksual fizikal.

Itu antara hasil siasatan awal polis membabitkan seorang pendakwah selebriti yang dikaitkan dengan empat laporan polis berkenaan kes jenayah seksual terhadap empat remaja lelaki.

Sumber berkata, mangsa kes amang seksual fizikal terbabit mendakwa diarah melakukan perbuatan tidak senonoh oleh suspek yang pernah menyertai program realiti agama sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dilaporkan berkata, setakat ini, Polis Kontinjen Selangor menerima empat laporan polis iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, satu di IPD Shah Alam dan satu di IPD Kajang berhubung kejadian itu.

Menurutnya, semua laporan polis itu dibuat oleh empat individu berusia antara 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh seorang penceramah bebas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 10:11 AM