Aizat Sharif


Kangar: Pengeluaran mangga Harumanis di Perlis musim ini meningkat berbanding tahun lalu meskipun keadaan cuaca yang tidak menentu pada akhir ini.

Pengarah Pertanian Negeri Perlis, Hafizuddin Othman berkata, walaupun begitu ia gagal menepati jangkaan awal Jabatan Pertanian Negeri.

"Pengeluaran mangga Harumanis sudah pun bermula pada bulan ini... kita mengaggarkan 2,140 tan metrik akan dihasilkan dengan anggaran nilai jualan berjumlah RM53.5 juta.

"Dalam masa yang sama juga, walaupun pengeluarannya meningkat berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 1,480 tan metrik, ia kurang dari jangkaan awal kami sebanyak 3,600 tan metrik yang sepatutnya dapat dikeluarkan pada musim ini.

"Kita melihat atas beberapa faktor yang kita rasakan adalah disebabkan kemerosotan kelekatan putik mangga Harumanis itu yang menurun dan berada pada sekitar 70 peratus sahaja walaupun dari segi pertumbuhan bunga pada buah berkenaan itu sendiri berada pada tahap 95 peratus," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival Mangga Harumanis Perlis Tahun 2023 di sini hari ini.

Katanya, pihaknya juga masih meneliti sama ada ketidaktentuan cuaca mempengaruhi pengeluaran mangga Harumanis.

"Dari segi harga pula, ia dijual sekitar RM25 hingga RM45 untuk sekilogram berdasarkan gred buah berkenaan," katanya.

Terdahulu, Hafizuddin bersama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli mengiringi Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berangkat melancarkan Festival Mangga Harumanis Perlis yang diadakan di perkarangan dewan berkenaan.

Dalam majlis itu juga, baginda berkenan melancarkan produk inovasi berasaskan mangga Harumanis.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Perlis, Razali Saad dimana majlis berkenaan dianjurkan sempena Majlis Aidilfitri Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Perlis yang dihadiri sekitar 50,000 orang dari seluruh Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2023 @ 6:22 PM
KAKITANGAN Jabatan Pertanian Negeri Perlis menunjukkan buah mangga Harumanis Gred Premium yang boleh didapati di Pusat Pertanian jabatan berkenaan. FOTO Aizat Sharif
KAKITANGAN Jabatan Pertanian Negeri Perlis menunjukkan buah mangga Harumanis Gred Premium yang boleh didapati di Pusat Pertanian jabatan berkenaan. FOTO Aizat Sharif