BAYI perempuan cukup sifar ditemui di belakang kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
BAYI perempuan cukup sifar ditemui di belakang kenderaan pacuan empat roda. FOTO Ihsan PDRM
Juwan Riduan


Keningau: Seorang bayi perempuan sempurna sifat dipercayai baru dilahirkan, ditemui di belakang kenderaan pacuan empat roda di Kampung Susulat, Sook, di sini, Selasa lalu.

Bayi yang masih bertali pusat itu ditemui oleh orang awam di dalam plastik merah, pada 12.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang, memaklumkan seorang bayi ditemui di kampung berkenaan.

Katanya, bayi itu masih bertali pusat dan ditemui di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda.

"Pengadu kemudian membawa bayi itu masuk ke dalam rumah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Sook untuk mendapatkan rawatan.

"Bayi berkenaan dalam keadaan stabil dan dihantar ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bayi terbabit dipercayai dibuang namun siasatan masih diteruskan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ho di talian 014-6304299," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 8:20 PM