JPJ menggunakan dron untuk memantau keadaan trafik sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri. FOTO arkib Bernama
JPJ menggunakan dron untuk memantau keadaan trafik sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri. FOTO arkib Bernama
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Memotong barisan dan gagal mematuhi lampu isyarat merah dikenal pasti kesalahan paling tinggi dikesan melalui pengoperasian teknologi dron Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) lalu.

Pengarahnya, Mohd Misuari Abdullah berkata, sebanyak 207 kes kesalahan memotong barisan manakala 108 pula bagi kesalahan melanggar lampu isyarat merah.

"Selebihnya adalah kesalahan membabitkan topi keledar dengan 24 kes, memotong di garisan berkembar (empat) dan lain-lain kesalahan (dua).

"Semua kesalahan itu direkodkan sepanjang operasi yang bermula 18 hingga 27 April lalu dan melalui kaedah penguatkuasaan menggunakan teknologi dron, kesalahan lalu-lintas yang sering dilakukan oleh pengguna jalan raya lebih mudah dikesan dan diambil tindakan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Misuari berkata, sebanyak 9,319 kenderaan diperiksa sepanjang pelaksanaan operasi itu dengan 1,228 kenderaan diambil tindakan.

Jumlah keseluruhan notis yang dikeluarkan adalah 3,417 kepada pengguna jalan raya yang melanggar undang-undang mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan kaedah-kaedah di bawahnya.

"Sebanyak 2,871 notis saman direkodkan dan kesalahan tertinggi adalah tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans serta tidak mematuhi isyarat lalu-lintas.

"Sebanyak 39 kenderaan disita atas kesalahan tiada lesen memandu, tidak mempunyai lesen kenderaan motor, tiada perlindungan insurans serta pemandu warga asing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2023 @ 3:06 PM